Anda di sini

Cadang program pencegahan dadah baharu ke arah penyelesaian masalah

Advertisement
TANGANI BERSAMA Mohd Dahlan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Shahril (tengah) sempena Majlis Perasmian Seminar Interaktif Peringkat Kebangsaan.
TANGANI BERSAMA Mohd Dahlan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Shahril (tengah) sempena Majlis Perasmian Seminar Interaktif Peringkat Kebangsaan.

KOTA KINABALU: Pelajar Pascasiswazah Fakulti Psikologi dan Pendidikan disaran supaya mencadangkan program baharu untuk mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan kumpulan sasar.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Shahril Yusof berkata pelajar Pascasiswazah perlu tampil dengan cadangan yang dibuat berdasarkan kajian ke arah penyelesaian masalah dan bukan menggunakan program pencegahan sedia ada, yang dilihat kurang berkesan.

Kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

“Untuk itu, program pencegahan baharu perlu diwujudkan supaya program pencegahan yang lebih efektif boleh dilaksanakan dengan menumpukan kepada kumpulan sasar yang terdedah kepada penyalahgunaan dadah,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Interaktif peringkat Kebangsaan: Kaunseling & Penyalahgunaan Bahan, Smart Sharing Programme (SHARP) 2017, di sini pada Rabu.

Menurutnya, pelajar pascasiswazah jangan hanya memikirkan untuk menghabiskan pengajian peringkat Sarjana semata-mata, sebaliknya mereka harus memikirkan tentang sumbangan yang boleh diberi kepada generasi akan datang melalui program pencegahan dadah yang diwujudkan.

Melalui kajian dan jalan penyelesaian yang dicadangkan itu akan turut membantu kerajaan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Shahril berkata kaedah penyelesaian harus menjurus kepada kumpulan yang terdedah kepada penyalahgunaan dadah kerana pengedar mahupun penjual tahu golongan mana yang mudah dipengaruhi.

“Maka pelajar pascasiswazah tidak harus takut untuk gagal sebaliknya, cadangkanlah program pencegahan yang boleh memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

“Apa program yang akan dilaksana, itu terpulang kepada kebijaksanaan pelajar untuk memikirkannya,” jelasnya.

Semasa bertugas sebagai doktor perubatan suatu ketika dahulu, beliau mendapati masalah penyalahgunaan dadah antara Sabah dan Semenanjung Malaysia tidak sama. Jika di Semenanjung pengambilan dadah secara berlebihan kerap berlaku namun tidak di Sabah. Di sini, senarionya berbeza kerana di Sabah lebih kepada pengambilan syabu serta menghidu gam.

Faktor-faktor sebegitulah perlu diambil kira semasa melakukan kajian bagi mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan penyalahgunaan dadah.

Melihat statistik kes penagihan dadah, berdasarkan Agensi Antidadah Kebangsaan, sebanyak 30,847 kes penagihan dilaporkan pada 2016 dengan 22,925 kes adalah penagih baru manakala 7,922 kes penagih berulang.

Jumlah itu meningkat sebanyak 4,179 kes berbanding pada 2015.

Sementara itu, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan Prof Dr Mohd Dahlan A Malek berkata ia adalah program tahunan yang bertujuan memberi pendedahan tentang punca dan kesan penyalahgunaan dadah.

Di samping itu, program itu juga untuk memberi kefahaman mengenai kaedah sesuai untuk membasmi penyalahgunaan dadah serta mengenal pasti usaha bersesuaian untuk membasmi penyalahgunaan dadah di negara ini.

Dalam masa yang sama, mereka juga ingin meuar-uarkan tentang ‘Specialty Programme for Alcohol & Drug Abuse’ (SPADA) kepada masyarakat setempat.

Advertisement