Anda di sini

Suspek nafi merogol, bayar wang selepas tahu mangsa anak saudara

Advertisement
 Suspek dibawa anggota polis untuk sambungan reman semalam.
SAMBUNG REMAN: Suspek dibawa anggota polis untuk sambungan reman semalam.

LAWAS: Seorang lelaki direman selama tujuh hari bemula kelmarin bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan remaja perempuan di sebuah hotel di bandar ini, April lepas.

Ketua  Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 23 tahun dari Kampung Long Tengoa bekerja sebagai pendawai elektrik diberkas jam 9.30 malam Isnin lepas susulan laporan polis dibuat mangsa, Ahad lalu.

Abang Zainal memberitahu, hasil siasatan awal suspek ada mengaku membawa mangsa ke sebuah hotel atas kerelaan mangsa sendiri April lepas.

Bagaimanapun, suspek tidak mengaku membuat apa-apa bayaran kepada ibu mangsa dan pemilik kelab hiburan terbabit.

Suspek juga tidak mengaku merogol mangsa selepas suspek mengetahui mangsa merupakan anak saudara sendiri semasa berada di bilik hotel terbabit,” ujarnya semalam.

Jelas beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin (Selasa) dan bilik hotel berkenaan akan diperiksa untuk siasatan lanjut.

Ahad lepas, seorang remaja 14, membuat laporan polis bersama ketua kampung jam 10.55 pagi di Balai Polis Lawas selepas mendakwa menjadi habuan seks seorang lelaki tidak dikenali yang merogolnya sebanyak tiga kali di sebuah hotel di bandar ini sejak April lepas.

Mangsa mendakwa kejadian rogol berlaku ketika dia bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat  karaoke di Lawas dan dipaksa  ibu kandung dan pemilik karaoke tersebut mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki tidak dikenalinya.

Susulan itu, dua wanita termasuk ibu kandung mangsa, 30, dan seorang lagi suspek yang juga pemilik sebuah premis hiburan di bandar ini berusia 45 tahun ditahan Isnin lepas.

Kes akan disiasat  mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1)(a) dan (d)  Akta Kanak-Kanak 2001.

Advertisement