Anda di sini

Negeri wain AS hangus dimamah api

Advertisement

Sejumlah 17 kawasan kebakaran besar jejaskan 46,500 hektar sejak Ahad

 Kebakaran memusnahkan Taman Rumah Bergerak Journeys End di Santa Rosa, California kelmarin. — Gambar AFP
HANGUS: Kebakaran memusnahkan Taman Rumah Bergerak Journeys End di Santa Rosa, California kelmarin. — Gambar AFP

CALIFORNIA: Kebakaran belantara yang bergerak pantas dan memusnahkan kawasan wain di California Utara sudah mengorbankan 17 orang, menyebabkan kira-kira 150 lagi hilang, dan memusnahkan 1,500 kediaman, kilang wain dan struktur lain, kata pegawai bomba negeri kelmarin.

Api daripada 17 kebakaran besar sudah menghanguskan kawasan seluas 46,500 hektar sejak kebakaran bermula Ahad lepas dalam keadaan yang panas dan kering serta ribut kuat.

Pejabat Syerif Sonoma County berkata 11 kematian berlaku dalam kawasan di bawah bidang kuasanya, di mana 155 orang masih hilang, tetapi 45 orang lagi sudah dijumpai dan segelintir daripada mereka yang tidak dapat dikesan mungkin disebabkan oleh kekeliruan mengenai evakuasi.

Di Napa County, mereka yang maut termasuk Charles Rippey, 100, dan isterinya Sarah, 98, menurut pejabat syerif daerah.

Tiada maklumat lain mengenai insiden itu atau kematian lain dapat diperolehi dengan segera.

Kru mengambil kesempatan ke atas suhu lebih sejuk, angin yang reda dan kabus tepi pantai kelmarin untuk mencapai kemajuan dalam usaha memadamkan kebakaran tetapi memberi amaran bahawa rumah, kilang wain dan struktur lain masih berdepan dengan risiko.

Kami perlu bertindak cepat dan mengambil kesempatan daripada keredaan ini sebelum angin lain melonjak,” kata Steve Crawford, seorang ketua operasi CAL FIRE, di satu taklimat petang.

Banyak kemusnahan berlaku di luar sana, orang yang berlari ke sana sini dan baharu kehilangan segalanya.”

Ke utara San Francisco, kebakaran memusnahkan rumah sehingga tinggal abu di beberapa komuniti. Kota Santa Rosa khususnya teruk terjejas disebabkan oleh kebakaran yang dipanggil ‘Tubbs Fire’, yang merosakkan sebuah hotel Hilton dan memusnahkan sebuah taman kediaman bergerak.

Puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka, manakala sekolah ditutup dan sekurang-kurangnya dua hospital di Sonoma County ditutup buat sementara waktu.

Napa Valley Vintners, sebuah kumpulan dagangan dengan 550 anggota, berkata ia masih terlalu awal untuk menganggarkan impak kebakaran itu ke atas ekonomi.

Sekurang-kurangnya empat kilang wain mengalami “kerugian sepenuhnya atau sangat signifikan”, dan sekurang-kurangnya sembilan melaporkan kerosakan kepada kilang wain mereka, bangunan luar atau kebun anggur sekitar, kata kumpulan itu.

Sebanyak 95 peratus anggur sudah dipetik sebelum kebakaran bermula, dan hampir kesemua masih berada pada pokok anggur Cabernet Sauvignon, jenis berkulit tebal yang dijangka tidak akan terjejas oleh asap kebakaran.

Selain kerosakan berpotensi kepada kebun anggur daripada kebakaran itu sendiri, pendedahan berterusan kepada asap tebal dapat mencemari anggur yang belum dipetik, menurut pakar pembuatan wain.

Lebih 91,000 kediaman dan premis perniagaan yang menerima khidmat dari Pacific Gas & Electric tidak ada tenaga, dan kebanyakan pelanggan itu tinggal di daerah-daerah Sonoma dan Napa di California Utara, dan gas ditutup kepada 28,000 pelanggan, kata wakil syarikat utiliti tersebut.

Gabenor California Jerry Brown mengisytiharkan keadaan darurat di Napa, Sonoma dan lima daerah lain.

Di California Selatan, kebakaran yang dipanggil ‘Canyon Fire 2’ sudah merebak ke kawasan seluas 3,035 hektar di Orange County, memusnahkan 14 struktur dan merosakkan 22 lagi, kata jurucakap bomba Thanh Nguyen.

Kebakaran itu menyebabkan evakuasi 5,000 orang dalam komuniti Anaheim Hills dan Orange Hills selepas ia merebak menerusi rumput dan pokok oak, katanya, dan hanya 25 peratus dibendung setakat petang kelmarin. — Reuters

Advertisement