Anda di sini

KWSP sasar 90% pencarum berdaftar dengan i- Akaun menjelang 2021

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus memperkukuhkan usaha transformasi digitalnya dan menyasarkan  sekurang-kurangnya 90 peratus pencarum berdaftar dengan i-Akaun menjelang 2021, kata Ketua Jabatan Rangkaian Perkhidmatan Mohd Rodzi Abu Bakar.

Beliau berkata, setakat September 2017, kira-kira 34 peratus (4.5 juta) daripada 13 juta pencarum telah berdaftar dengan kemudahan dalam talian i-Akaun.

Pada tahun ini, KWSP telah menyemak naik sasaran untuk mempunyai lima juta pendaftaran pencarum i-Akaun pada akhir 2017, memandangkan kami telah mencapai sasaran awal 4.5 juta pada September,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

i-Akaun yang diperkenalkan pada 2004 membolehkan pencarum KWSP menyemak maklumat caruman dan transaksi akaun  serta mendapatkan  penyata secara dalam talian pada bila-bila masa dan mana sahaja.

Beliau berkata, selain lebih memudahkan pelanggan, i-Akaun juga merupakan inisiatif hijau yang boleh mengurangkan penggunaan kertas dan sekali gus menurunkan kos operasi dan tenaga kerja.

Lebih penting, platform dalam talian itu juga bertujuan memenuhi keperluan celik teknologi generasi Y yang cenderung melaksanakan perkara secara dalam talian,” katanya.

 Mohd Rodzi berkata, setakat ini, generasi Y merangkumi lebih 50 peratus daripada pencarum KWSP dan jumlah itu dijangka melebihi 75 peratus menjelang 2025.

Justeru itu, selain sasaran sekurang-kurang 90 peratus pencarum berdaftar dengan i-Akaun menjelang 2021, kami turut berharap 80 peratus pencarum kami akan menggunakan kemudahan tersebut ketika itu,” katanya.

Data terkini KWSP menunjukkan daftar masuk i-Akaun mencatatkan penggunaan purata 1.14 juta setiap bulan dari Januari hingga September 2017, meningkat daripada 791,728 setiap bulan tahun lepas.

Mengenai usaha penambahbaikan i-Akaun, Mohd Rodzi berkata KWSP merancang untuk membenarkan pencarum melakukan pengeluaran melalui kemudahan e-Pengeluaran dalam i-Akaun tanpa perlu pergi ke mana-mana kaunter KWSP.

Ketika ini, beliau berkata, kemudahan e-Pengeluaran hanya membenarkan pencarum menyerahkan permohonan pengeluaran untuk tujuan perumahan atau pendidikan secara dalam talian dan masih perlu pergi ke kaunter KWSP untuk pengesahan cap jari.

Kemudahan e-Pengeluaran diperkenalkan pada 2013 sebagai sebahagian usaha KWSP mengurangkan transaksi di kaunter.

Selain penyerahan permohonan pengeluaran untuk perumahan atau pendidikan, kemudahan e-Pengeluaran juga membolehkan pencarum menyemak penamaan mereka.

Bagi pendaftaran i-Akaun, pencarum perlu mendapatkan kod pengaktifan di mana-mana kaunter KWSP, melalui kioks KWSP atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.

Mohd Rodzi berkata, KWSP turut menggerakkan pasukannya untuk membantu pencarum di semua cawangan KWSP dalam usaha menggalakkan lebih ramai pencarum berdaftar dengan i-Akaun.

Sebagai tambahan kemudahan serta untuk kekal relevan, beliau berkata, KWSP juga menyediakan aplikasi mudah alih ‘EPF i-Akaun’ yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store atau Apple App Store. — Bernama

Advertisement