Anda di sini

Delegasi Malaysia akan bertemu ahli Parlimen Eropah bincang isu minyak sawit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Satu delegasi Malaysia yang diketuai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijadualkan bertemu ahli-ahli Parlimen Eropah (MEP) di Brussels minggu depan untuk membincangkan isu-isu berkaitan minyak sawit.

 Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Kalyana Sundram, delegasi tersebut juga akan membincangkan beberapa isu berkaitan Laporan Draf MEP bagi isu-isu perundangan dan bukan perundangan, termasuk alam sekitar dan kesihatan.

 “Laporan Draft itu merupakan laporan awal yang dihasilkan oleh pakarpakar yang dilantik oleh Kesatuan Eropah (EU) kerana beberapa petikan dalam laporan itu tidak 100 peratus tepat atau secara umumnya tidak berkaitan dengan senario di Malaysia.

 “Jadi kita merasa terpanggil untuk campur tangan, kerana kita boleh menyediakan maklumat yang lebih tepat dan berdasarkan fakta mengenai senario Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar acara yang julung kali diadakan Wacana Antarabangsa Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia mengenai Kelestarian Minyak Sawit, di sini, semalam.

 Kalyana berkata, delegasi tersebut akan membincangkan cadangan resolusi oleh blok 28 negara itu termasuk rancangan untuk mengenakan pensijilan dari EU ke atas minyak sawit.

 “Mereka masih membincangkan perkara itu, tetapi kita berharap EU tidak akan memerlukan pensijilan dari EU kerana Malaysia merupakan negara pengeluar dan pensijilan perlu datang daripada negara pengeluar.

 “Sebagai pengeluar, kita membangunkan standard kita sendiri dan kita mahu menjadikannya mandatori,” katanya.

 Pada April, Parlimen Eropah telah meluluskan untuk menghentikan secara berperingkat minyak sawit tidak lestari menjelang 2020, dan menyokong pelan Minyak Sawit Lestari Diperakui (CSPO) bagi eksport minyak sawit dan sayuran lain ke Eropah untuk memastikan ia dihasilkan dengan cara yang lestari.

 Kalyana berkata, suruhanjaya EU akan mengambil ulasan dari Malaysia dan negara-negara lain untuk dipertimbangkan dan kemudiannya mengeluarkan laporan yang dikemas kini. — Bernama

Advertisement