Anda di sini

Bekas timbalan setiausaha bahagian disambung reman

Advertisement

PUTRAJAYA: Tempoh reman terhadap seorang bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementerian yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berkaitan projek luar bandar di Sabah, dilanjutkan enam hari mulai hari ini hingga 17 Okt

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh mengeluarkan perintah sambung reman terhadap wanita berusia 40 tahun itu di Mahkamah Majistret Putrajaya setelah tempoh reman sebelum ini, sejak 6 Okt berakhir semalam.

Wanita itu, yang kini bertugas sebagai setiausaha bahagian di sebuah kementerian lain, merupakan antara tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan pada 5 Okt lalu. Turut ditahan ialah naib presiden sebuah parti di Sabah dan seorang ahli perniagaan.

Semalam, pemimpin parti politik Sabah dan ahli perniagaan itu masing-masing dilanjutkan reman selama empat dan tiga hari bagi membantu siasatan kes sama selepas tempoh reman lima hari mereka sebelum ini berakhir.

Selain itu, tiga lagi yang merupakan pemimpin dua buah parti turut direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng daripada sebuah kementerian.

Dana RM1.5 bilion itu adalah sebahagian peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015. — Bernama

Advertisement