Anda di sini

Restoran Beccari tawar masakan terkenal Itali

Advertisement
 (Dari kanan) Arshad, Cef Gedang, Mona, Cef Esekutif Fadill (dua kiri) dan Cef Jefferson (kiri) merakam kenangan bersama.
SELAMAT DATANG: (Dari kanan) Arshad, Cef Gedang, Mona, Cef Esekutif Fadill (dua kiri) dan Cef Jefferson (kiri) merakam kenangan bersama.

RESTORAN Beccari Hotel Merdeka Palace di Kuching kini memperkenalkan menu baharu bertemakan masakan terkenal Itali.

Antara hidangan itu ‘Bruschetta(V)’, ‘Salad Nicoise’, ‘Charbroiled Lamb’, Sirloin, Tiramisu dan Piza pelbagai pilihan cita rasa.

Mengulas lanjut mengenai menu baharu itu, Cef Gedang Jetom berkata, kesemua hidangan itu 100 peratus mengikut sajian terkenal makanan Itali.

Bagi Burschetta(V), katanya, ia merupakan tepung piza kosong garing segar yang dibakar dengan ketuhar dan disajikan bersama tomato Aioli.

“Bagi Salad Nicoise pula, ia merupakan komposisi Tuna Maguro, telur puyuh, tomato, kacang, Edamame, tauge, selada dan hiasan herba.

“Untuk menu Charbroiled Lamb pula, ia adalah daging anak biri-biri dengan cairan perap rahsia yang dibakar sempurna dalam ketuhar khas sebelum disajikan bersama sayuran bermentega, ubi kentang Beccari, keju kambing dan pes terung,” katanya ketika ditemui di Kuching, baru-baru ini.

Apa yang lebih menarik mengenai Restoran Beccari menurut Cef Gedang ialah, ia merupakan satu-satunya restoran di hotel menggunakan ketuhar kayu.

“Jadi kita dapat mengekalkan rasa dan kualiti setiap daging bakar yang dihidangkan dan ia pasti memberi rasa yang amat menyelerakan kepada penggemar masakan Itali,” tambahnya.

Untuk menu Sirloin pula, ia adalah daging batang pinang sama ada digril atau dipanggang dengan keju mascarpone, disaji dengan bawang, zaitun hitam, tomato dan lada benggala dilengkapi dengan sos herba istimewa.

Untuk pemanis mulut pula, disediakan Tiramisu yang mempunyai perisa kopi diperbuat daripada keju mascarpone, kek kopi yang disajikan dengan manisan buah peri, repui mentega dan aiskrim vanila.

Bagi hidangan piza Itali pula, pelanggan boleh memilih cita rasa mengikut kehendak masing-masing seperti daging, ayam, makanan laut, sayuran dan keju tambahan.

Malah, Restoran Beccari juga menawarkan perkhidmatan pesanan pandu lalu atau ‘drive thru’ bagi pelanggan yang hendak membeli piza Itali yang dijual di situ.

“Pelanggan juga boleh membuat tempahan piza mereka sebelum mengambil pesanan mereka di ruang pandu lalu yang disediakan di sini dengan menghubungi kami di talian 082-25800 sambungan 8080,” kata Penyelaras Komunikasi Pemasaran Mona Farriza Abdullah.

Beliau memberitahu, pesanan pandu lalu untuk piza di restoran itu dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam setiap hari.

Selain itu, katanya, Restoran Beccari juga menawarkan menu Tuna Sensation sepanjang Oktober ini selain menu Ayam Peri Peri dan Nasi Goreng Aurora Wok.

Hadir sama Cef Esekutif Fadill Mohd Hanif, Cef Jefferson Jikom dan Pengurus Jualan Mohd Arshad Hasriee.

  • oleh
  • Advertisement