Anda di sini

Lelaki simpan lupus harta curi dijatuhi hukuman penjara, denda

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin kerana kesalahan menyimpan dan melupuskan harta curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya dan mengambil kira kepentingan awam.

Peter Libau, 42, dari Jalan Maigold, Desa Senadin Fasa 2 di sini didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang menyimpan harta curi iaitu sebuah pembesar suara jenama JBL berwarna hitam kepunyaan Tan Liong Yiu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.30 malam, pada 4 Oktober lalu di sebuah rumah setinggan Pujut Corner di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja memindah atau menghapuskan harta curi iaitu satu unit tablet berwarna putih.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 11 pagi, pada 4 Oktober lalu di sebuah kedai alat telekomunikasi Pusat Komersil Boulevard di sini.

Setelah mendengar pengakuan salah tertuduh, mahkamah kemudian mengenakan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara bagi kesalahan pertama dan penjara dua bulan bagi kesalahan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement