Anda di sini

Universiti UCSI Sarawak menang besar pada Culinaire Malaysia 2017

Advertisement

Pelajar Hospitaliti dan Seni Kulinari raih 9 pingat emas, 3 perak, 6 gangsa

 Para pelajar dan kakitangan Universiti UCSI merakam kenangan pada Culinaire Malaysia 2017.
TAHNIAH: Para pelajar dan kakitangan Universiti UCSI merakam kenangan pada Culinaire Malaysia 2017.

KUCHING: Pelajar Hospitaliti dan Seni Kulinari, Universiti UCSI kampus Sarawak berjaya meraih sembilan pingat emas, tiga pingat perak, enam pingat gangsa dalam pertandingan Culinaire Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam acara selama empat hari pada 26 hingga 29 September itu, pasukan terdiri daripada 19 pelajar menyertai Kategori ‘Hot Cooking’, Kejohanan Barista dan Kejohanan Mocktail.

Kategori Hot Cooking merangkumi empat pengkhususan berbeza iaitu hidangan utama makanan laut/ikan, hidangan utama ayam itik, makan utama salmon dan hidangan etnik Melayu.

Salah seorang pemenang pingat perak, Kingsley Chuo yang merupakan pelajar Diploma Seni Kulinari tahun kedua, melahirkan penghargaan kerana diberi peluang untuk menyertai acara berprestij tersebut.

Saya banyak belajar melalui pertandingan ini kerana ia memberi saya banyak pendedahan dan membolehkan saya mendapat pengalaman.

Atas peluang ini dan bimbingan yang berterusan yang saya terima daripada pensyarah, saya dapat membawa pulang pingat dan membawa kebanggaan kepada universiti saya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ketua Jabatan Hospitaliti dan Seni Kulinari William Anthony berkata, kemenangan itu yang memerlukan usaha gigih bagi menghasilkan keputusan cemerlang, amat membanggakan UCSI Sarawak.

Pada pandangan saya, yang paling penting untuk dilihat adalah perjalanan pertandingan merupakan satu proses, bukan pengakhiran.

Kejayaan atau kekalanan sesiapa merupakan satu lagi batu loncatan ke peringkat seterusnya. Jadi nasihat saya kepada sesiapa yang ingin membangunkan kemahiran cemerlang, sama ada dalam seni kulinari atau tidak, adalah untuk tidak menumpukan hasil sekarang; tetapi fokus dengan apa yang telah diraih dan bagaimana anda dapat terus berkembang,” katanya.

Pertandingan seperti itu memberi platform yang hebat untuk memaparkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki pelajar selama bertahun-tahun belajar di UCSI.

Panel hakim yang berpengalaman dapat memberikan analisa kritikal dan maklum balas terhadap prestasi pelajar pada akhir setiap kategori yang telah mereka sertai.

Dengan cara itu, pertandingan dapat menjadi sumber penilaian diri yang berguna untuk pelajar yang tidak dapat dielakkan membantu memupuk pengalaman dan kemahiran mereka.

Kakitangan dan pelajar UCSI merasakan usaha mereka adalah berbaloi dan mereka berharap untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak pertandingan masakan pada masa akan datang.

Advertisement