Anda di sini

Permohonan Najib batal saman Ezam didengar 22 Nov

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 22 Nov ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan 13 bekas anggota Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dua pihak lagi bagi membatalkan saman difailkan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Saman itu difailkan Mohamad Ezam, selaku Presiden Parti Bebas Rasuah, berhubung kerugian yang dialami 1MDB berjumlah AS$3.657 bilion.

Peguam Yazid Mustaqim Roslan, yang mewakili Perdana Menteri, ketika ditemui pemberita berkata pada tarikh sama (22 Nov) mahkamah juga menetapkan untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi menangguhkan prosiding sementara menunggu permohonan membatalkan saman diputuskan oleh mahkamah.

Beliau berkata, Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad  menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes berkenaan semalam.

Yazid berkata mahkamah turut mengarahkan kesemua pihak memfailkan hujahan masing-masing sebelum tarikh pendengaran tersebut.

Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 12 Julai lepas, atas alasan Mohamad Ezam tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

Selain Najib selaku defendan pertama, turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman ialah 13 bekas anggota Lembaga Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah; Datuk Kamal Mohd Ali; Datuk Norazman Ayob; Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin; Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Ong Gim Huat dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi selaku defendan kedua hingga kelapan.

Selain itu, Ashvin Jethanand Valiram; K. Arul Kanda; Mohd Hazem Abd Rahman @Mohamed; Datuk Mohd Bakke Salleh; Tan Sri Azlan Mohd Zainol; Datuk Tengku Rahimah Puteri Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai defendan kesembilan hingga ke-14.

Syarikat 1MDB dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-15 dan ke-16 turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan Mohamad Ezam, pada 14 April lepas. — Bernama

Advertisement