Anda di sini

Keuntungan pracukai LPI Capital naik kepada RM115j

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai LPI Capital Bhd (LPI) bagi tempoh suku ketiga 2017 (S317) meningkat sebanyak 18.1 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM115 juta  berbanding RM97.4 juta, sebelum ini.

Perolehannya untuk S317 juga meningkat kepada RM406.78 juta daripada RM363.52 juta yang dicatat pada S316, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Syarikat insurans itu menyifatkan peningkatan keuntungan pada suku berakhir 30 Sept, 2017 adalah hasil sumbangan pertumbuhan keuntungan diraih segmen insurans am.

Keuntungan itu meningkat sebanyak 20.4 peratus tahun ke tahun kepada RM102.8 juta daripada RM85.4 juta sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, keuntungan segmen taja jaminan untuk S317 menokok sebanyak 19.9 peratus tahun ke tahun kepada RM83.6 juta daripada RM69.7 juta sebelum ini, sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan pendapatan bersih premium dan peningkatan rizab premium tidak diraih (UPR) dalam suku tersebut.

Menurutnya, ini disebabkan oleh semakan semula anggaran pengiraan UPR serta gabungan nisbah lebih rendah sebanyak 63.9 peratus.

Perolehan LPI bagi tempoh selama sembilan bulan turut bertambah kepada RM1.1 bilion berbanding RM1.02 bilion dalam tempoh sama tahun lepas namun keuntungan sebelum cukainya susut 28.9 peratus tahun ke tahun kepada RM293 juta daripada RM412.1 juta, sebelum ini.

Ia menyifatkan penyusutan itu disebabkan oleh penurunan keuntungan sebelum cukai oleh segmen pelaburannya kepada RM29.1 juta daripada RM178.6 juta.

Ini kebanyakannya disebabkan oleh perolehan sekali sebanyak RM150.4 juta daripada jualan ekuitinya pada tempoh sama, tahun lepas.

Bagi kemajuan masa depan, kami melihat teknologi sebagai faktor utama yang akan mempengaruhi industri insurans dengan kewujudan perubahan serta peningkatan peralihan dalam jangkaan pelanggan,” katanya.

Sehubungan itu, unit LPI, Lonpac Insuran Bhd, telah menubuhkan sebuah jabatan strategi digital untuk memanfaatkan teknologi dalam usaha pengedaran produk dan mempertingkatkan perkhidmatan kepada para pelanggannya.

Kami yakin pelaburan dalam teknologi ini dapat membolehkan kami untuk terus mengembangkan segmen perniagaan dan mengukuhkan lagi kedudukan dalam pasaran.

Malah, bersandarkan peningkatan ekonomi Malaysia serta pembangunan infrastruktur oleh kerajaan secara berterusan, kami percaya kumpulan ini dapat mencatat prestasi lebih baik pada suku akhir tahun ini,” katanya. — Bernama

Advertisement