Anda di sini

Indah tersingkir, Amir Jahari Star of The Week AF Megastar

Advertisement
 

KONSERT Suku Akhir AF Megastar bertemakan ‘Ikon’ (Mash Up) yang berlangsung di Royal Theater dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (135) pada malam Ahad lepas menyaksikan Indah tersingkir sementara Amir Jahari dipilih sebagai Star Of The Week hasil undian peminat sepenuhnya.

Indah yang menyanyikan lagu-lagu Allahyarham Puan Sri Saloma iaitu ‘Mari Jalan Bersama’, ‘Gelora’ dan ‘Bila Larut Malam’ gagal memuaskan hati juri profesional.

Persembahan Indah yang dikatakan lemah itu hanya berjaya memperolehi markah sebanyak 22.6 peratus di penghujung rancangan.

Gemersik suara Saloma tu ada. Nak sampaikan lagu dengan aura penyanyi asal itu sangat besar cabarannya dan awak perlu beri lebih lagi,” kata Puan Sri Tiara Jacquelina selaku juri jemputan pada malam itu.

Dua lagi bintang yang tersenarai dalam kedudukan tiga terbawah adalah Shahir dan Syamel dengan masing-masing hanya mendapat markah keseluruhan 46.3 peratus dan 34.4 peratus.

Amir Jahari yang sebelum ini sering berada dalam kedudukan tiga terbawah pada malam itu berjaya menunjukkan momentumnya dengan dua lagu ikon pilihannya, Datuk Zainal Abidin berjudul ‘Orak Arek’ dan ‘Kau Di Hatiku’.

Penyanyi yang berasal dari Sarawak itu berjaya membawa pulang  eGiftCard daripada GoShop bernilai RM2, 000 serta sebuah trofi.

Seorang lagi peserta dari Sarawak iaitu Bob yang menyanyikan lagu ikon pilihannya Datuk Siti Nurhaliza berjudul ‘Nirmala’ dan ‘Balqis’ mendapat markah paling tinggi iaitu sebanyak 57.3 peratus.

Marsha yang menyanyikan lagu ‘Akhirnya Kini Pasti’ dan ‘Seksis’ nyanyian ikonnya Anita Sarawak berada di tempat kedua dengan 56 peratus manakala Idayu menduduki tempat ketiga dengan 55.3 peratus.

Format penjurian AF Megastar menggunakan 60 peratus daripada juri profesional iaitu pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat dan 40 peratus lagi daripada undian penonton atau AFUNDI menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara ‘online’ di laman web rasmi www.afmegastar.com.my.

Tujuh peserta yang mara ke konsert separuh akhir pada minggu depan adalah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Syamel dan Amir.

Juara ‘AF Megastar’ bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian.

  • oleh
  • Advertisement