Anda di sini

Eksport buah-buahan segar dijangka meningkat kepada lebih RM700 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah eksport buah-buahan segar, termasuk durian, nanas dan nangka, dijangka meningkat kepada lebih RM700 juta tahun ini berbanding hampir RM600 juta pada tahun lepas, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata nilai eksport durian sahaja dijangka sekurang-kurangnya berjumlah RM150 juta berbanding RM74.39 juta yang dicatat pada tahun lepas.

Beliau berkata sasaran eksport berkenaan bagaimanapun bergantung kepada hasil pengeluaran pokok yang banyak dipengaruhi oleh cuaca.

Kami jangka lebih banyak dusun durian mengeluarkan buah durian berkualiti tinggi, (buah-buah ini) kita akan eksport ke lebih banyak negara seperti China, Hong Kong, Australia dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan penghantaran durian sejuk beku ke Qinzhou, Guangxi, China semalam.

Durian kategori Musang King yang dihantar ke China itu adalah bersempena Festival Durian Naning 2017, yang julung kali diadakan.

Badruddin berkata nilai eksport durian ke China dijangka meningkat kepada RM23.4 juta tahun ini berbanding RM18.02 juta tahun lalu.

Selain China, beliau berkata FAMA turut mengeksport durian ke Singapura, Hong Kong, Indonesia, Australia dan lain-lain.

FAMA menyasarkan beberapa pasaran eksport baharu seperti Kanada dan Korea Selatan untuk musim durian yang seterusnya.

Apabila mahu buka pasaran baru, kita perlu pastikan bekalan sentiasa mencukupi apabila dikehendaki oleh pasaran itu,” tambah beliau.

Badruddin berkata industri eksport durian menjanjikan pulangan yang lumayan dengan kos pelaburan yang pendek sehingga lima tahun.

Beliau berkata produk akhir berasaskan durian seperti aiskrim dan kopi menjadi kegemaraan dan trend generasi muda pada masa kini. — Bernama

Advertisement