Anda di sini

Ada Sahabat Di Tempat Kerja?

Advertisement

Tony Stark si Iron Man, Dr. Bruce Banner ataupun Incredible Hulk, Hawkeye, Black Widow dan Captain America merupakan adi wira terhebat yang berlawan dalam pertempuran secara berseorangan. Kemudian mereka disatukan oleh Nick Fury untuk menyelamatkan dunia daripada kejahatan Loki. Beginilah permulaan filem “Avengers.” Semasa menonton filem ini, kita nampak sekumpulan adi wira dengan ego menggunung, yang tidak cekap membuat kerja dan kerap bertengkar sesama mereka, tetapi tiba-tiba mereka berubah menjadi sebuah pasukan berprestasi tinggi. Bagaimanakah transformasi ini terjadi?

Jika anda menonton semula filem ini (seperti yang saya lakukan) dan melihat cara mereka berinteraksi antara satu sama lain, anda akan menyedari bahawa titik perubahan kejayaan mereka berlaku apabila mereka berhenti bertumpu pada diri sendiri dan bersahabat dengan yang lain. Lebih banyak masa yang diluangkan bersama-sama dan sewaktu ikatan persahabatan ini semakin erat, kerja mereka menjadi lebih cekap. Apabila persahabatan mereka bertambah rapat, ahli Avengers ini menyedari betapa penting setiap orang dan mereka mula mengambil peduli akan kekuatan masing-masing. 

Persahabatan memberi dorongan

Dalam kehidupan (malah dalam cerita Avengers!), tiada sesiapa mampu mengharunginya secara berseorangan. Hakikatnya, tiada sesiapa mampu hidup tanpa berhubung dengan orang lain. Jauh di pelosok hati kita sedar bahawa kita dicipta untuk berhubung dengan orang lain. Entah bagaimana Tuhan menciptakan kita dengan keinginan memiliki sesuatu yang tidak dapat dikecapi sekiranya kita bersendirian. 

Persahabatan menggerakkan Avengers. Selalunya persahabatanlah yang menjadi pendorong bagi perniagaan-perniagaan besar. Penubuhan Sony bertitik tolak daripada persahabatan yang mendalam antara Akio Morita dan Masaru Ibuka. Asal penubuhan Intel pula berpunca daripada persahabatan antara Andy Groove, Gordon Moore dan Bob Noyce. Malah kewujudan Apple juga terhasil daripada persahabatan antara Steve Jobs dan Steve Wozniak. Persahabatan yang erat membolehkan perkongsian dalam sesuatu perniagaan bertahan lama.

Pernyataan saya ini didokong beberapa kajian. Menurut kajian yang dijalankan oleh Gallup, persahabatan secara personal meningkatkan kepuasan hati sebanyak 50%. Dalam kajian Gallup yang bertajuk “Vital Friends: The People You Can’t Afford To Live Without,” (Sahabat Baik: Insan Yang Anda Tidak Boleh Hidup Tanpa Mereka), hasilnya menunjukkan bahawa pekerja yang mempunyai tiga orang kawan di tempat kerja mempunyai 46% kebarangkalian berasa puas dengan kerja mereka dan 88% daripadanya berpuas hati dengan kehidupan, selain kurang terdedah dengan kemalangan berkaitan kerja, dan lebih berminat untuk berurusan dengan pelanggan.

Malah, kaji selidik penanda aras keterlibatan pekerja Q-12 oleh Gallup menyertakan soalan seperti ‘Adakah saya mempunyai kawan baik di tempat kerja?’ sebagai salah satu penanda keterlibatan yang bagus di tempat kerja. Mempunyai sahabat baik di tempat kerja dikaitkan dengan produktiviti, keuntungan, dan pengekalan pekerja yang lebih tinggi serta meningkatkan motivasi dan kepuasan pelanggan bagi sesuatu organisasi.

Satu lagi kajian menyeluruh tentang persahabatan yang dijalankan oleh Gabriella Conti merumuskan bahawa pendapatan kita (orang dewasa) adalah 2% lebih tinggi apabila seseorang menganggap kita sebagai kawan rapat semasa di sekolah menengah. Ini bermaksud jika ada lima orang menganggap anda sebagai salah seorang daripada tiga kawan rapat yang sama jantina, gaji anda mungkin 10% lebih tinggi. Nampaknya persahabatan juga memberi kesan kepada gaji anda secara langsung.

Donald Trump Salah!

Pada sambutan Krismas yang lepas, saya menerima sebuah buku Donald Trump sebagai hadiah. Sebaik sahaja menyelak buku itu, ada cerita tentang siri realiti TV Trump yang terkenal iaitu The Apprentice. Dalam hampir kesemua episod The Apprentice, anda dapat melihat ahli perniagaan yang terkemuka berlawan antara satu sama lain untuk merebut kemegahan dalam dunia korporat. Ayat yang biasa digunakan ialah, “Saya di sini bukan untuk mencari kawan! Tiada kaitan dengan urusan peribadi." 

Bagi kebanyakan ketua perniagaan, persahabatan merupakan aspek yang dianggap pantang larang untuk meraih kejayaan dalam perniagaan. Mereka sememangnya salah (ya, termasuklah Donald Trump, kini Presiden Amerika Syarikat). Perniagaan yang terbaik mempunyai pasukan yang memaparkan persahabatan yang erat, yang setiap ahlinya sanggup “bermati-matian demi satu tujuan” dan demi pasukan itu sendiri.

Ada perkara yang tidak disedari oleh Donald Trump dan ketua perniagaan yang lain, iaitu punca utama kegagalan dalam perniagaan adalah disebabkan tahap kepercayaan yang rendah. Kepercayaan bertambah baik apabila anda bersahabat dengan rakan sekerja. Hal ini berlaku melalui perhubungan dan persahabatan dari hati ke hati. 

Dalam filem Avengers, persahabatan antara adi wira tersebut akhirnya membentuk kepercayaan antara satu sama lain. Malah, mereka mula menyelamatkan antara satu sama lain apabila ada yang terjatuh dari bangunan dan mereka memberi kepercayaan kepada rakan sepasukan untuk memimpin dan melaksanakan sesuatu misi. 

Pasukan yang bagus berkembang maju kerana setiap orang memainkan peranan masing-masing. Sekali-sekala mereka juga turut membantu menyelesaikan masalah yang timbul apabila salah seorang daripada mereka gagal. Jika kita tidak berkawan sesama kita dalam sesebuah pasukan, kita tidak mungkin akan ‘menyelamatkan’ yang lain apabila mereka jatuh. Lebih teruk, jika ada kebencian antara rakan sekerja dalam sesebuah organisasi, mereka akan ‘seronok’ melihat kejatuhan orang lain, kerana ini menyediakan jalan pintas untuk mencapai kejayaan buat diri sendiri.

Hidup lebih lama

Yang menakjubkan, persahabatan di tempat kerja boleh memanjangkan umur (ya, inilah hakikatnya!). Pengkaji dari Universiti Tel Aviv melaporkan bahawa seseorang yang suka berkawan dengan orang lain di tempat kerja mempunyai risiko meninggal dunia yang nyata lebih rendah, tanpa mengira apa-apa punca kematian sekalipun. Hasil ini kekal sama sepanjang kajian dijalankan selama 20 tahun. 

Sebuah lagi kajian oleh Universiti Flinders menemui bahawa sesiapa yang menjalinkan persahabatan yang erat hidup lebih lama daripada orang yang mempunyai tidak ramai kawan. Perbezaan ini adalah sebanyak 22%. Lagi memeranjatkan, hubungan kekeluargaan langsung tidak memberi kesan kepada kadar kematian. Yang mengagumkan, sebuah lagi kajian menunjukkan bahawa seseorang yang mempunyai hubungan sosial yang bagus mempunyai kadar risiko mati 50% lebih rendah daripada mereka yang terhad hubungan sosial.

Daripada kajian ini juga, bos yang teruk didapati tidak menyumbang kepada kematian awal. Rakan-rakan yang ramai membantu memberi kesan yang ketara kepada jangka hayat kita; namun demikian bos yang suka memberikan pertolongan tidak pula menyumbang apa-apa. 

Bersantai bersama rakan sekerja? 

Banyak syarikat menghabiskan sejumlah wang mengusahakan inisiatif keterlibatan pekerja. Berapa banyakkah inisiatif sebegini termasuk strategi yang dijalankan untuk membantu membangunkan dan mengekalkan hubungan persahabatan antara pekerja? Persahabatan itu penting dan ada nilainya. 

Sahabat merupakan insan yang mengenali anda, memahami perkara yang telah anda lalui, menerima anda seadanya, dan mendorong anda untuk menjadi lebih maju.  Bukankah ini merupakan inti pati keterlibatan pekerja dan kepimpinan? Iaitu menerima dan memberi galakan sesama kita serta menolak antara satu sama lain untuk berkembang maju dan memenuhi potensi diri. Ini semua menjadi impian ketua-ketua perniagaan. Jadi, kenapa tidak kita usahakan cara meningkatkan persahabatan untuk semua di tempat kerja? 

Salah satu cara dalah dengan memberi ruang kepada para pekerja untuk makan angin bersama-sama bagi mewujudkan ikatan persahabatan. Di Leaderonomics, kami bekerja keras memastikan kami sentiasa berpeluang untuk mengeratkan persahabatan di tempat kerja.

10 langkah merapatkan persahabatan 

  1. Hulurkan tangan terlebih dahulu. Ambil langkah pertama untuk memulakan persahabatan. Jangan tunggu orang lain menegur anda terlebih dahulu.
  2. Tidak hakimi seseorang. Kawan kita boleh jadi sesiapa sahaja. Jangan terpengaruh dengan penampilan atau reputasi seseorang. Anda mungkin tidak berpeluang untuk membina persahabatan yang terunggul apabila anda mudah menghakimi orang lain.
  3. Luangkan masa untuk berkawan di tempat kerja.  Tetapkan masa untuk ‘berkenalan’ dengan rakan sekerja dan pupuklah persahabatan itu. 
  4. Pastikan anda memberi perhatian penuh. Apabila berada bersama dengan rakan sekerja, belajar menjadi pendengar dan dengar betul-betul.
  5. Belajar untuk sayangkan orang lain. Persahabatan yang tulus lahir daripada rasa sayang dan ambil berat.
  6. Belajar untuk sayangkan diri. Apabila anda tidak menyukai diri sendiri, orang lain boleh ‘menghidu’ perasaan ini dan akan memberi reaksi yang sama seperti yang anda lakukan.
  7. Jadilah sahabat seperti yang anda mahukan. Anda akan mendapat hasil sebanyak yang anda semaikan dalam persahabatan
  8. Berlaku jujur dengan rakan-rakan. Tanpa kejujuran tiadalah persahabatan.
  9. Selalu berhubung apabila ada masa. Sekiranya anda selalu mengembara, ketiadaan anda boleh menjejaskan persahabatan. Cari jalan untuk terus berhubung.
  10. Tanda kebaikan. Sekali sekala hujani kawan-kawan anda dengan hadiah yang ringkas, nota dengan kata-kata yang disertai galakan dan isyarat kecil yang menunjukkan mereka sentiasa dalam ingatan anda. Rakan-rakan anda akan sayang pada anda.

Akhir kata 

Ramai ahli genetik menyatakan kita semua patut berkawan sesama kita kerana hakikatnya kita semua bersaudara. Menurut mereka, setiap yang hidup hari ini mempunyai 1.1 juta saudara sejak dari zaman 1066 SM; waktu itu jumlah penduduk dunia hanyalah seramai 200 juta orang. Hal ini bermaksud kebarangkalian dua individu yang hidup hari ini lahir daripada nenek moyang yang sama beberapa ribu tahun lepas adalah kira-kira satu per dua ratus. Ini bermakna kita semua berasal daripada nenek moyang yang sama. 

Maka untuk kita membina persahabatan di tempat kerja, ini sepatutnya tidak menjadi masalah. Kita boleh menganggap kita hanya menjalinkan persahabatan dengan ‘saudara-mara’ yang telah terputus hubungan. Ingat, jika anda sedang mencari-cari kerja, anda sepatutnya mempunyai sahabat. Cara utama seseorang memperoleh kerja adalah melalui rujukan rakan-rakan.

Kita banyak meluangkan masa seharian di tempat kerja, maka kita perlulah menghargai persahabatan di tempat kerja, dengan menjadikan aspek ini sebagai perkara utama untuk kita kekalkan. Maka, marilah kita berusaha untuk menjalinkan hubungan persahabatan yang erat dengan rakan sepejabat dan pekerja kita. Ini boleh menentukan jatuh bangun kita dalam perniagaan.

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

Sumber

Advertisement