Anda di sini

39,657 calon PT3 di Sarawak mula duduki peperiksaan

 Antara 401 calon Pentaksiran Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan bersalaman dengan pengetua mereka, Bujang Awang Jamain sebelum masuk ke bilik peperiksaan.
MOHON KEBERKATAN: Antara 401 calon Pentaksiran Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan bersalaman dengan pengetua mereka, Bujang Awang Jamain sebelum masuk ke bilik peperiksaan.
 Papan tanda 'Senyap Peperiksaan Sedang Dijalankan' turut diletakkan di hadapan bilik peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan.
JANGAN BISING: Papan tanda 'Senyap Peperiksaan Sedang Dijalankan' turut diletakkan di hadapan bilik peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan.

KUCHING: Seramai 39,657 calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di negeri ini menduduki ujian itu bermula hari ini di 201 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon berkata, daripada jumlah itu, seramai 38, 237 calon PT3 dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Manakala bagi sekolah swasta pula, katanya melibatkan 1,173 calon dan selebihnya calon perseorangan, 13 calon, sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pelajaran Malaysia 220 calon dan 14 calon pula dari sekolah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

"Penting bagi pelajar (calon PT3) menduduki ujian ini sebagai peluang menilai kefahaman terhadap ilmu yang dipelajari untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi lagi," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Mengulas lanjut mengenai pusat peperiksaan yang dibuka, Rakayah memberitahu 182 daripada 201 pusat peperiksaan adalah sekolah kerajaan.

"Sekolah swasta pula terdapat 13 pusat peperiksaan dibuka, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pula tiga pusat dan selebihnya sekolah akhlak yang mana kesemua pusat peperiksaan ini dibuka bermula hari ini," katanya.