Anda di sini

Reman dua lagi anggota TLDM dilanjutkan tujuh hari

Advertisement

LUMUT: Tempoh reman dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian dan mencederakan anggota TLDM dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, minggu lalu dilanjutkan selama tujuh hari mulai esok.

Perintah sambung reman tersebut dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini setelah tempoh reman tujuh hari kedua-dua suspek sebelum ini tamat hari ini.

Kedua-dua lelaki berumur 24 dan 31 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada 29 Sept lalu, dua anggota TLDM yang ditahan di bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai akibat didera.

Selain itu, kedua-duanya juga direman mengikut Seksyen  325/506 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan kes kecederaan dua lagi anggota yang ditahan di bilik sama. 

Pada 2 Okt lalu, dua anggota TLDM berpangkat Laskar Kelas 1 berumur 30 tahun membuat laporan polis mendakwa dicederakan di  bilik tahanan sama dan mereka kini dirawat di bilik khas di Wad Pembedahan Lelaki, 96 Hospital Angkatan Tentera di Lumut. - BERNAMA 

 Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota pasukan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan pada 29 September lalu. Perintah itu dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid yang membenarkan reman terhadap mereka yang berusia 24 dan 31 tahun itu.
MAHKAMAH MAJISTRET: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilanjutkan reman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota pasukan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan pada 29 September lalu. Perintah itu dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid yang membenarkan reman terhadap mereka yang berusia 24 dan 31 tahun itu.
Advertisement