Anda di sini

Konvoi Bujang Berani Bukit Sibau cabar penggemar aktiviti lasak

Advertisement
 Sebahagian daripada kenderaan pacuan empat roda yang digunakan oleh peserta.
LASAK: Sebahagian daripada kenderaan pacuan empat roda yang digunakan oleh peserta.

LANGKAH memperkenal aktiviti baharu ternyata berbaloi serta berjaya menjadi nilai tambah luar biasa kepada Pesta Pakan 2017.

 Program ‘Jom Ke Persemadian Pahlawan Rentap’ dan Konvoi Bujang Berani Bukit Sibau yang julung kali diadakan bukan saja berjaya malah memberikan peluang kepada lebih ramai lagi orang awam terutamanya mereka yang datang dari luar daerah Pakan menyertai pesta yang ke-19 kali dianjurkan itu.

 Program Konvoi Bujang Berani Bukit Sibau, sebagai contoh telah berjaya menarik penyertaan lebih 100 peserta pelbagai peringkat umur termasuk belia yang meminati aktiviti berbentuk tahan lasak serta mencabar.

 Aktiviti tahunan yang dianjurkan ‘Pakan Mix Offroad Team’ sejak tahun 2015 itu, antara lain bertujuan untuk mempromosikan daerah Pakan di samping menyediakan platform yang relevan bagi golongan belia yang meminati aktiviti lasak.

 Menurut penyelaras program Chrisroyston Bakum Isup, pada tahun ini pemilihan Bukit Sibau sebagai destinasi bertujuan untuk mendedahkan golongan belia kepada tempat bersejarah khasnya tempat persemadian pahlawan Iban yang ulung semasa zaman pemerintahan Brooke.

 “Para peserta bukan saja terdiri daripada pasukan ‘bikers dan offroad’ tempatan malah ada yang datang dari Sibu, Betong dan juga pasukan Kementerian Pelancongan dari Kuching.

 “Memang penyertaan untuk aktiviti ini terbuka kepada sesiapa yang berminat tetapi bilangan yang menyertainya di luar jangkaan.

 Mungkin destinasinya (Tugu Peringatan Pahlawan Rentap) menjadi daya tarikan terutamanya bagi mereka dari luar daerah Pakan,” kata Chrisroyston.

 Konvoi yang melibatkan 36 kenderaan pacuan empat roda dan 30 motosikal jenis tahan lasak bertolak dari Pakan jam 9.30 pagi dan mengambil masa dua jam setengah untuk sampai di Bukit Sibau.

 “Keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan beberapa tempat jalan tanah merah yang agak licin amat mencabar namun menyeronokkan,” kata Chrisroyston yang juga guru di SK Ng.

 Pakan yang pertama kali menjejakkan kaki ke Bukit Sibau.

 Sementara itu Timothy Salang, salah seorang ahli Betong Biker berkata, beliau memang sudah lama berhasrat untuk melihat Tugu Peringatan Pahlawan Rentap.

 “Arwah datuk saya pernah menceritakan kisah perjuangan mendiang Rentap kepada saya dan itulah menyebabkan hati saya tergerak untuk menyertai program ini,” jelas beliau.

 “Pada mulanya saya bercadang untuk ke Sabah tetapi apabila Chrisroyston memberitahu saya mengenai program tersebut saya terus batalkan rancangan saya itu kerana inilah peluang keemasan untuk saya ke Bukit Sibau tambahan pula saya memang meminati aktiviti ‘offroad’, tambah beliau yang juga seorang guru di St. Augustine, Betong.

 Pengerusi Pakan Mix Offroad Team Chan Chung Kwang pula berkata selain daripada program konvoi, pameran auto dan ‘Bike Gathering’ juga diadakan sempena Pesta Pakan tahun ini.

 “Program ‘autoshow’ dan Bike Gathering juga mendapat sambutan luar dugaan di mana 400 motosikal berkuasa besar dan tahan lasak berjaya dihimpunkan sedangkan kami menjangkakan hanya 100 saja,” katanya.

 “Nampaknya aktiviti berkaitan offroad di kawasan luar bandar semakin diminati dalam kalangan belia dan objektif untuk mempromosikan daerah Pakan kepada orang luar kali ini amat berjaya berdasarkan jumlah penyertaan,” tambah beliau lagi.

  • oleh
  • Advertisement