Anda di sini

Penganggur nafi rompak pelajar

Advertisement

MIRI: Mahkamah Sesyen membebaskan seorang penganggur dengan jaminan tunai RM20,000 berserta dua penjamin tempatan setelah dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelajar.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Oktober ini untuk pengurusan kes.

Ang Sau Hui, 39, dari Jalan Aru, Holiday Park di sini dituduh melakukan rompakan berkumpulan dengan merompak wang tunai RM1,150, satu unit telefon bimbit dan satu unit Power Bank daripada Wan Mohd Firdaus Wan Saini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.10 pagi, 18 Mac tahun ini di kawasan letak kereta berhampiran sebuah hotel bajet di Jalan Lee Tak di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Steve Ritikos, manakala tertuduh tidak diwakili.

Sementara di Mahkamah Majistret, Ang didenda RM2,800 atau dua bulan penjara kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine Man methamphetamine.

Bagi kesalahan itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah mengunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Ang didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.35 tengah hari, 10 November 2016 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

  • oleh
  • Advertisement