Anda di sini

Miliki senjata berbahaya, lelaki dipenjara 5 tahun

Advertisement

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap seorang lelaki atas tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kapak.

Tertuduh, Irwan Hazmi, 28, dari Kampung Usahajaya Baru juga dijatuhi hukuman 10 bulan penjara atas tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas.

Irwan didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Lorong Sentosa Timur 3A pada 2 Oktober lepas, kira-kira jam 7 malam.

Berdasarkan fakta kes, tiga anggota polis dari Balai Polis Lanang telah menerima panggilan mengatakan berlaku pergaduhan dan orang mengamuk di sebuah rumah.

Setiba di tempat kejadian, mereka telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada salah seorang penghuni di dalam rumah tersebut.

Seorang lelaki iaitu tertuduh telah keluar dari rumah membawa bersama sebilah kapak, sebelum bertindak agresif dengan menyerang salah seorang anggota polis terbabit.

Namun tertuduh berjaya ditahan oleh pihak polis disaksikan sendiri kakak, isteri serta ibunya.

Bagi pertuduhan terbabit, Irwan didakwa mengikut Seksyen 7(1), Akta Bahan Kakisan serta Letupan dan Senjata Berbahaya, 1958 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Advertisement