Anda di sini

Seorang lagi didakwa rompak kapal tangki

Advertisement
 Syafri (tengah) yang terlibat dalam rompakan sebuah kapal tangki berpangkalan di Thailand pada 6 Sept lalu dihukum penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam. — Gambar Bernama
BERSALAH: Syafri (tengah) yang terlibat dalam rompakan sebuah kapal tangki berpangkalan di Thailand pada 6 Sept lalu dihukum penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Seorang lagi lelaki yang terlibat dalam rompakan sebuah kapal tangki berpangkalan di Thailand pada 6 Sept lalu dihukum penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu setelah Syafri, 46, warga Indonesia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dan memerintahkan hukuman bermula semalam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama 10 orang yang telah dituduh di Mahkamah Sesyen pada 20 Sept lalu dan dua lagi yang masih bebas, terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand sehingga mendatangkan kerugian dan ketakutan terhadap 14 kru  kapal tersebut dengan menggunakan senjata pisau dan parang panjang.

Syafri didakwa melakukan kesalahan itu di perairan Terengganu pada  8.30 malam, 6 Sept lalu.

 Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah.

Tertuduh ditahan pihak berkuasa pada 11 Sept lalu setelah ditemui orang awam terdampar di Pantai Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus. — Bernama