Anda di sini

Penggiat industri perkapalan mahu bantuan tambahan dalam Bajet 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Memandangkan industri perkapalan domestik masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan kegawatan ekonomi daripada sedekad lalu, penggiat tempatan mahu mendapatkan bantuan tambahan dalam Bajet 2018 akan datang bagi menangani cabaran yang dihadapi sekarang.

Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Datuk Ir Hak Md Amin berkata Malaysia turut menerima tempias daripada kesan kemelesetan ekonomi, sama seperti perniagaan perkapalan global yang masih lagi sedang bergelut.

Lebihan tanan dunia, pengurangan projek-projek besar terutamanya dalam sektor huluan dan negara-negara melindungi industri mereka dengan mengetatkan ‘Dasar Kabotaj’ mereka, telah menyebabkan banyak kapal tidak dapat beroperasi dan syarikat-syarikat menghadapi kesukaran meneruskan kelangsungan hidup atau tidak mendapat perniagaan atau berada di bawah Akta Perlindungan Hutang,” kata Hak kepada Bernama. 

Justeru itu, semasa tempoh-tempoh sukar ini, beliau berkata MASA ingin mencadangkan cukai sifar bagi perkhidmatan yang disediakan pemain tempatan terutamanya dalam pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBSR), alat-alat ganti kapal serta perkhidmatan perkapalan lain.

Industri perkapalan Malaysia berdepan cabaran besar daripada persaingan dengan negara-negara jiran.

Dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Malaysia tidak lagi menjadi tempat yang menarik untuk membina atau melakukan perniagaan pembaikan kapal, bukan hanya bagi orang tempatan tetapi juga orang asing.

Pengecualian cukai akan membantu industri SBSR , terutamanya, apabila tanan Malaysia telah jatuh hampir separuh daripada paras kemuncaknya sebanyak 15 juta tanan berat muatan (DWT).

Dengan penurunan tanan ini, ia jelas mencerminkan permintaan dalam industri perkapalan. Ia bermakna kemerosotan ketara dalam dermaga kapal dan perlu dinyatakan bahawa lebih banyak kargo diangkut oleh kapal-kapal asing,” jelasnya lagi. 

Hak berkata pengurangan ketara di dermaga kapal telah menjejaskan keperluan latihan kadet tempatan yang menyebabkan mereka tidak dapat menghabiskan masa latihan laut mereka untuk layak. 

Menurut data yang dikongsi semasa Minggu Maritim Malaysia Sedunia 2017 yang diadakan bulan lepas, nilai kargo yang diangkut oleh kapal asing berjumlah RM23 bilion, yang bermakna kapal-kapal tempatan hilang perniagaan mereka disebabkan persekitaran perniagaan yang tidak menarik. 

Beliau berkata penutupan operasi syarikat perkapalan serta perniagaan sokongan telah menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan.

Bagi penyedia kapal sokongan minyak (OSV), hakikat bahawa sektor minyak dan gas masih tidak secergas seperti sebelum ini telah memburukkan lagi keadaan, dan justeru itu katanya, pengecualian cukai korporat dalam segmen ini akan membantu meringankan bebanan industri itu.

Mengenai perkembangan berbeza, Hak juga menyatakan liberalisasi Dasar Kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Labuan dijangka membawa kesan negatif dan impak besar kepada industri perkapalan tempatan kerana ini akan menjejaskan pemilik kapal tempatan terutamanya di Sarawak, di mana pengangkutan air sama ada mengangkut barangan atau orang, merupakan perniagaan utama dan sangat penting.  

Dengan menghapuskan dasar kabotaj bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kusa pada 1 Jun, ia bermakna kapal-kapal asing yang biasanya dibina lebih besar akan dapat mengangkut kargo dalam negeri.

Sebelum ini kapal-kapal asing hanya dibenarkan memindahkan kargo di pelabuhan di negara ini dan bukan mengangkutnya dalam negara.

Sejujurnya, kami berharap kerajaan akan menyemak semula liberalisasi dasar kabotaj. Kami percaya liberalisasi ini tidak membawa kesan besar bagi kos barangan di Sabah/Sarawak tetapi apa yang pasti akan menyebabkan banyak ahli-ahli kami sama ada menutup atau mengecilkan perniagaan mereka. 

Seperti yang saya sebut sebelum ini, negara-negara lain mengetatkan undang-undang kabotaj mereka tetapi malangnya di Malaysia, kita membukakannya secara perlahan-lahan.

Kita tidak konsisten dengan aspirasi kita. Dari satu segi kita mahu menjadi negara maritim tetapi dari segi lain kita secara perlahan-perlahan ‘membunuh’ penggiat kita sendiri,” ujarnya. — Bernama

Advertisement