Anda di sini

MITI mahu GLC, GLIC tingkat usaha tambah bilangan PKS Bumiputera

Advertisement

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), meningkatkan usaha untuk menambah bilangan usahawan Bumiputera.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Maslan berkata GLC, GLIC dan MKD diharap akan terus memainkan peranan mereka untuk meningkat bilangan usahawan, khususnya usahawan Bumiputera, selaras dengan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

Oleh sebab kerajaan memiliki syarikat-syarikat itu, saya harap CEO-CEO syarikat peka kepada aspirasi dan melaksanakan program yang boleh membantu usaha kerajaan menambah bilangan usahawan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, setakat ini Malaysia mempunyai kira-kira 907,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan hanya kira-kira 37 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada PKS Bumiputera.

Terdahulu, Ahmad merasmikan program ‘In-store’, program usaha sama MITI dan Malaysia Aiports Berhad (MAB) bagi menyediakan ruang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kepada PKS untuk memasarkan dan menjual produk masing-masing.

Beliau berkata projek perintis itu bertujuan membantu PKS Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka di Lapangan Terbang yang merupa lokasi strategik.

Saya akan membawa program ini dalam perbincangan MITI supaya program In-Store ini akan dapat dikembangkan ke Lapangan Terbang lain bagi membantu PKS di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata hanya PKS Bumiputera terpilih dalam program In-Store sahaja yang berpeluang mempamerkan produk-produk mereka di Lapangan Terbang untuk tempoh sebulan.

Ahmad berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai bilangan PKS Bumiputera paling rendah di negara ini iaitu hanya 14.8 peratus berbanding Terengganu yang mempunyai bilangan PKS Bumiputera paling tinggi sebanyak 87.5 peratus.

PKS yang berminat untuk menyertai program ini perlu berdaftar dengan MITI di setiap negeri, manakala proses pemilihan akan dilakukan oleh MAB berdasarkan senarai produk, pembungkusan dan penjenamaan,” katanya.

Sembilan syarikat PKS dipilih untuk menyertai program sebulan, bermula 2 Okt hingga 1 Nov di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. — Bernama

Advertisement