Anda di sini

Maria Chin antara tiga individu didakwa sertai protes jalanan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah semalam mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini selepas sekali lagi didakwa atas pertuduhan menyertai protes jalanan #KitaLawan, dua tahun lepas.

Selain Maria, 61, dua lagi Orang Kena Saman (OKS) ialah Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, 41, dan Pengurus Sekretariat BERSIH 2.0 Mandeep Singh, 31, yang turut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan orang lain yang masih bebas menyertai suatu protes jalanan bagi tujuan tertentu di hadapan kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di hadapan Kompleks Sogo di sini antara jam 3.15 petang hingga 6 petang, 28 Mac 2015.

Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu antaranya bagi tujuan ‘Reformasi dan Bebaskan Anwar’ dan ‘Bebas Berhimpun Bebas Bersuara’.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Safarizal Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS.

Bagaimanapun, peguam Vince Tan Hoo Seh yang mewakili Sim dan Mandeep memohon supaya jaminan RM500 yang dikenakan sebelum ini terhadap anak guamnya dikekalkan.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini melepaslkan tanpa membebaskan kedua-dua anak guam saya dan mereka tidak dapat kembali wang jaminan RM500 yang ditetapkan oleh mahkamah. Saya mohon supaya wang jaminan itu dikekalkan terhadap kesemua OKS,” katanya.

Mahkamah membenarkan kesemua OKS diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 3 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam prosiding semalam, Maria diwakili peguam P. Rajsurian.

Pada 8 Sept 2015, ketiga-tiga OKS mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan ama dan mereka dibenarkan ikat jamin RM500 setiap seorang.

Bagaimanapun, pada 28 Ogos lepas, mereka dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan yang mengendalikan kes tersebut gagal hadir pada hari pertama perbicaraan kes. — Bernama

Advertisement