Anda di sini

Mah ketuai delegasi misi ekonomi kementerian ke Vietnam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong mengetuai delegasi Misi Ekonomi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, ke Vietnam, pada 2-4 Oktober 2017.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian semalam, objektif lawatan rasmi ke Vietnam itu untuk mengukuhkan posisi eksport komoditi Malaysia dalam pasaran Vietnam yang dijangka akan tumbuh dengan pesat dalam beberapa tahun akan datang.

Di samping itu, lawatan rasmi ini turut bertujuan mengintai peluang untuk meningkatkan kerjasama strategik antara dua negara dalam pembangunan teknologi, terutamanya bagi industri sawit, getah dan lada,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2017, jumlah dagangan bagi sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi antara Malaysia-Vietnam mencatatkan peningkatan sebanyak 27 peratus kepada RM2.8 bilion, berbanding tempoh sama pada 2016.

Eksport sektor sawit mencatatkan peningkatan sebanyak 27 peratus kepada RM1.3 bilion dan sektor getah pula mencatatkan peningkatan sebanyak 29 peratus kepada RM254 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, katanya.

Mah berkata beliau yakin perdagangan dua hala melalui sektor pertanian dan komoditi menjadi kunci utama untuk merealisasikan visi Malaysia dan Vietnam untuk meningkatkan nilai dagangan dua hala kepada AS$15 bilion menjelang 2020 berbanding sekitar AS$12 bilion pada masa ini.

Pada sesi kunjungan hormat delegasi Malaysia terhadap Menteri Pertanian serta Pembangunan Luar Bandar Vietnam Nguyen Xuan Cuong di Hanoi, kedua-dua pihak telah menyatakan kesediaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala Malaysia-Vietnam dalam aspek pembangunan sektor pertanian, terutamanya sektor hiliran dalam penghasilan produk berasaskan komoditi seperti sawit, getah dan lada yang bermutu tinggi.

Dalam hal tersebut, selaku Pengerusi Majlis Tripartite Getah Antarabangsa (ITRC) bagi tahun 2017, Malaysia telah memanjangkan jemputan daripada negara-negara ITRC kepada Vietnam untuk menyertai ITRC sebagai ahli penuh,” menurut kenyataan itu.

Katanya langkah ini untuk mengukuhkan lagi peranan dan fungsi ITRC dalam memacu kemampanan industri getah dunia yang sehingga kini, ITRC terdiri daripada negara Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Mengulas terhadap jemputan tersebut, Nguyen berkata beliau berbesar hati untuk menerima jemputan daripada negara-negara ITRC dan memberikan komitmen bahawa Vietnam akan menghantar delegasi ke Malaysia untuk menghadiri Persidangan ITRC pada tahun depan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Beliau turut menjelaskan Vietnam juga akan memberikan komitmen dan kesedian untuk mengadaptasi resolusi yang telah dicapai oleh negara-negara ahli ITRC pada persidangan yang lalu di Bangkok, Thailand seperti inisiatif untuk memperluaskan penggunaan Getah Asli melalui pembinaan Jalan Berturap Getah dan usaha untuk berkongsi kepakaran dalam pembangunan teknologi industri getah,

Misi ekonomi tersebut disertai oleh wakil-wakil agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia dan Lembaga Lada Malaysia. — Bernama

Advertisement