Anda di sini

LBS bina harap kadar cukai pendapatan individu dan korporat dikurangkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd berharap kerajaan akan menurunkan kadar cukai pendapatan individu dan korporat dalam Bajet 2018 untuk mengurangkan beban pembeli rumah dan juga pemaju hartanah.

Dalam kenyataan semalam, Pengarah Urusan LBS Tan Sri Lim Hock San berkata, cadangan itu bertujuan memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah selain menggalakkan pertumbuhan industri hartanah serta ekonomi keseluruhannya.

Beliau berharap kerajaan akan menyemak semula dan mengurangkan langkah kekangan ke atas sektor hartanah, terutama Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), untuk merangsang lagi pasaran hartanah tempatan.

Kelonggaran terma-terma CKHT akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melabur atau menaik taraf kediaman mereka, sekali gus mewujudkan dan mempertingkatkan lagi aktiviti pasaran hartanah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, LBS juga berharap had minimum bagi warga asing yang ingin membeli kediaman di Malaysia dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM500,000 dalam usaha meningkatkan pasaran hartanah tempatan.

Lim berkata, dalam keadaan pelbagai faktor luaran yang membawa kepada peningkatan kos perumahan, syarikat itu mencadangkan supaya pengecualian duti setem diperluaskan kepada hartanah berharga antara RM300,000 dan RM500,000.

Ini akan mengurangkan kos transaksi hartanah dan mendorong rakyat memulakan langkah untuk pemilikan kediaman,” katanya.

LBS turut mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan dana khas untuk pemaju, dengan kadar faedah empat peratus, untuk membantu dan menggalakkan lebih banyak pemaju, terutama penggiat kecil, membina lebih banyak rumah mampu milik.

Langkah itu akan meningkatkan jumlah kediaman mampu milik di Malaysia, menurut kenyataan tersebut.

Syarikat ini berharap kerajaan akan memberi kemudahan kepada pemaju perbandaran untuk melabur lebih banyak dalam perancangan keseluruhan melibatkan susun atur kediaman, infrastruktur dan kebolehcapaian strategik,” menurut LBS.

LBS berkata, perbandaran yang dirancang secara baik dan berkembang akan memendekkan tempoh perjalanan dan menyediakan peluang perniagaan, yang akhirnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Insentif itu akan menggalakkan lebih banyak pemaju melaksanakan pembangunan perbandaran,” katanya. — Bernama

Advertisement