Anda di sini

Kiriman wang ke India dijangka meningkat 4.2% kepada AS$65b pada 2017: Bank Dunia

Advertisement

NEW DELHI: Kiriman wang ke India, penerima wang terbesar di dunia, oleh pekerja asing, dijangkakan berkembang 4.2 peratus kepada AS$65 bilion (AS$1=RM4.23) pada 2017, kata Bank Dunia.

Tahun lepas, India menerima kiriman wang bernilai AS$62.7 bilion, penurunan sebanyak sembilan peratus disebabkan kedudukan ekonomi dunia yang lemah.

Kiriman wang secara rasmi yang direkodkan ke negara membangun, dijangkakan berkembang 4.8 peratus kepada AS$450 bilion tahun ini selepas merosot dua tahun berturut-turut, demikian menurut Laporan Migrasi dan Pembangunan Bank Dunia yang disiarkan semalam.

China dijangkakan menerima AS$61 bilion, diikuti Filipina sebanyak AS$33 bilion, Mexico AS$31 bilion dan Nigeria sebanyak AS$22 bilion.

Aliran masuk ke Pakistan dijangkakan tidak berubah tahun ini manakala Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal masing-masing mengalami penurunan, kata Bank Dunia.

Kiriman wang ke Asia Selatan dijangkakan meningkat 1.1 peratus kepada AS$112 bilion tahun ini, dengan pertumbuhan suram disebabkan kesan harga minyak yang lebih rendah serta dasar rasionalisasi tenaga kerja di negara Majlis Kerjasama Teluk yang kaya.

Majikan utama pekerja asing di Teluk seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, mengambil jumlah pekerja yang lebih rendah dari India dan Pakistan disebabkan kelembapan ekonomi.

Kiriman wang ke Asia Timur dan Pasifik dijangka melantun sebanyak 4.4 peratus kepada AS$128 bilion pada 2017, berbanding penurunan 2.6 peratus pada 2016, kata Bank Dunia.

Laporan itu menyatakan Filipina terus menerima kiriman wang yang besar walaupun aliran masuk yang semakin menurun dari Arab Saudi, manakala kiriman wang ke Vietnam, sebahagian besarnya dari Amerika Syarikat, juga dijangka pulih tahun ini.

Laporan itu menyebut aliran masuk dana ke Indonesia terus merosot disebabkan larangan kerajaan negara itu terhadap pembantu rumah wanita untuk bekerja di Timur Tengah.

Secara keseluruhannya, kiriman wang global, termasuk aliran dana ke negara berpendapatan tinggi, dijangkakan meningkat 3.9 peratus kepada AS$596 bilion tahun ini.

Angka itu dijangkakan meningkat 3.4 peratus kepada AS$616 bilion pada 2018, kata Bank Dunia. — Bernama

Advertisement