Anda di sini

Dadah: Mahkamah Tinggi Seremban lepas dan bebas penuntut Korea Selatan

Advertisement

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban semalam, melepas dan membebaskan seorang pelajar lelaki warga Korea Selatan daripada pertuduhan mengedar dadah tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas mengambil kira permohonan serta hujahan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan pada perbicaraan yang memasuki hari keempat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abd Majid, memohon supaya tertuduh, Kim Yun Soung, 20, dilepas tanpa dibebas kerana tiada alasan kukuh untuk mengetepikan pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Gobind Singh Deo, memohon supaya mahkamah membenarkan kes itu digugurkan kerana seorang saksi utama hilang kredibiliti selepas memberikan keterangan palsu, semasa perbicaraan.

Kim, yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Nilai didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 219gm di Bandar Baru Nilai, Nilai pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, 19 Okt 2016 mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 31 Okt tahun lepas, dan perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada Mac lalu dan bersambung pada Jumaat lepas.

Pada perbicaraan yang lepas, Abu Bakar menetapkan semalam untuk kedua-dua pihak membuat hujahan lanjut berhubung kes berkenaan, selepas saksi kejadian didapati memberikan kenyataan bercanggah.

Kim yang memakai baju lokap berwarna putih, kelihatan gembira selepas mahkamah membuat keputusan itu, manakala datuk dan neneknya dilihat tidak berhenti menangis kerana kegembiraan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, nenek Kim, Youn Young Ae, 67, berkata dia amat gembira dengan keputusan mahkamah semalam yang membebaskan cucunya selepas ditahan lebih setahun lalu.

Dia yang tinggal di Kota Kinabalu, Sabah sejak tahun 2005, berkata cucunya yang juga seorang anak tunggal, pulang ke pangkuan keluarganya malam tadi.

Menurut Youn, mereka akan berehat selama dua minggu di negara asal sebelum cucunya kembali semula ke Nilai, dekat sini untuk meneruskan pengajian.

Sementara itu Rahimah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan semua pihak termasuk jurubahasa mahkamah susulan keterangan palsu diberikan saksi terbabit.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 194 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun. — Bernama

Advertisement