Anda di sini

Bank utama bersedia patuh peraturan pembiayaan Basel

Advertisement

Sudah beralih kepada struktur pembiayaan lebih stabil

KUALA LUMPUR: Kebanyakan bank utama Malaysia tidak akan menghadapi sebarang kesulitan dalam memenuhi keperluan nisbah pembiayaan bersih (NSFR), yang diumumkan minggu lepas, yang merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Basel III Bank Negara Malaysia (BNM), kata Fitch Ratings.

Dalam kenyataan semalam, ia berkata sektor perbankan sudah beralih kepada struktur pembiayaan yang lebih stabil sejak tahun-tahun kebelakangan ini, yang dapat mengurangkan pendedahan kepada gangguan pasaran.

BNM berkata lebih tiga perempat daripada bank Malaysia mempunyai NSFR yang memenuhi keperluan minimum, yang akan ditetapkan pada 100 peratus.

Kebanyakan bank utama mempunyai francais deposit domestik yang kukuh, dan dasar pembiayaan berhemat dan kecairan, dapat membantu mereka mematuhi peraturan baharu itu.

Selain itu, agensi penarafan tersebut berkata nisbah pinjaman perbankan atau nisbah deposit 89 peratus dan nisbah liputan kecairan (LCR) sebanyak 133 peratus pada akhir Ogos 2017, menunjukkan pembiayaan agregat dan kecairan agregat sistem itu agak sihat.

Menurut Fitch, kebanyakan bank sudah berusaha meningkatkan deposit runcit sejak tahun-tahun kebelakangan ini sebagai memenuhi peraturan NSFR dan tindakan terhadap keperluan LCR, yang mula dilaksanakan oleh BNM pada 2015.

Kedua-dua rangka kerja NSFR dan LCR menimbang deposit runcit sebagai lebih stabil berbanding deposit korporat dan memihak kepadanya.

Fitch berkata bank-bank berkemungkinan akan terus mengutamakan sumber pembiayaan yang stabil dalam mengembangkan lembaran imbangan masing-masing.

Kami menjangkakan bank akan beralih jauh daripada pembiayaan jangka pendek, yang tidak digalakkan mengikut peraturan NSFR dan LCR,” katanya.

Agensi penarafan itu berkata bank-bank juga mungkin menawarkan kadar yang lebih tinggi ke atas deposit jangka panjang dan beralih kepada pembiayaan hutang borong jangka panjang.

Langkah ini pada tahap tertentu, boleh menaikkan kos pembiayaan dan menurunkan margin faedah bersih, namun impak ke atas keuntungan dijangkakan tidak ketara bagi bank besar, atau sektor perbankan secara menyeluruh.

Fitch berkata bank juga boleh mengkaji pengurusan aset bagi mengurangkan pembiayaan mereka yang stabil, dengan berkata bahawa aset yang sangat cair, pinjaman jangka pendek dan gadai janji dengan pinjaman konservatif atau nisbah nilai ditimbang dengan baik mengikut peraturan NSFR.

Sementara itu, bank mungkin akan berusaha untuk memperkemas lagi kemudahan yang belum dicairkan, kerana ini perlu dibiayai sebahagiannya menerusi rejim ini,” katanya.

Peraturan baharu ini tidak akan dilaksanakan lebih awal dari 1 Jan, 2019, sekurang-kurangnya setahun sebelum tarikh pelaksanaan global yang dijadualkan pada 1 Jan, 2018, seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Basel.

Oleh itu, pelaksanaannya juga boleh ditangguhkan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, manakala hanya sebahagian kecil negara di Asia Pasifik iaitu Australia, Hong Kong, Indonesia dan Singapura, telah mengumumkan rancangan untuk melaksanakan peraturan tersbut pada 1 Jan tahun depan, katanya.

Fitch juga berkata bank juga perlu melaporkan NSFR mereka menerusi mata wang.

Tidak ada keperluan khusus mata wang NSFR, namun pendedahan akan membantu BNM memantau kestabilan sumber dana bank berdasarkan pendedahan mata wang utama,” katanya.

Ia menambahkan kumpulan perbankan Malaysia dengan operasi luar negara yang penting seperti Maybank dan CIMB Group, secara amnya akan mengurus pembiayaan mata wang asing dan keperluan kecairan mereka dengan baik. — Bernama

Advertisement