Anda di sini

Ahli perniagaan tidak mengaku salah rogol budak 12 tahun

Advertisement

MIRI: Seorang ahli perniagaan terkemuka bergelar Dato mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen petang tadi atas dua tuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh, 82, dari Piasau Jaya Fasa Satu, di sini telah didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (D) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh disebat.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh merogol seorang budak perempuan bawah umur berusia 12 tahun dan 11 bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.40 pagi, 31 Ogos lalu di sebuah bilik hotel bajet di Taman Jade Manis di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol budak perempuan yang sama.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8 malam, 11 September lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Masjid di sini.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 19 Oktober ini untuk pengurusan kes dan perbicaraan ditetapkan pada 5 hingga 9 Mac 2018.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan tunai RM15,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Manakala tertuduh diwakili peguam bela Ranbir Singh.

 Tertuduh (bertopi) keluar dari kamar mahkamah sambil diiringi oleh ahli keluarganya petang tadi.
TIDAK MENGAKU SALAH: Tertuduh (bertopi) keluar dari kamar mahkamah sambil diiringi oleh ahli keluarganya petang tadi.
  • oleh
  • Advertisement