Anda di sini

Pegawai bank dihukum seleweng barang kemas

Advertisement

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai eksekutif bank dihukum penjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyelewengkan barangan kemas pelanggannya yang bernilai RM2.06 juta bermula Mac lepas.

Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap Mohd Nazreen Mohd Nasir, 28.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh merupakan seorang pegawai di Unit Pentadbiran Pembiayaan di sebuah bank di Jalan Trus di sini yang diamanahkan untuk menjaga barangan kemas pelanggan.

Namun, dia telah melakukan pecah  amanah dengan menggadai barangan tersebut di beberapa kedai pajak di Johor Bahru dan Melaka.

Kesalahan dilakukan antara 28 Mac hingga 6 Sept lepas dengan menggunakan modus operasi iaitu mendakwa ada pelanggan mahu menebus barangan kemas mereka tetapi sebenarnya ia tidak berlaku.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu, meminta diringankan hukuman kerana ini merupakan kesalahan pertamanya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Tertuduh juga memberi alasan perlu menanggung seorang isteri dan seorang anak selain keluarga mertuanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan hukuman setimpal harus dikenakan kerana nilai barangan kemas itu adalah besar dan menyebabkan kerugian kepada banyak pihak.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali. — Bernama

Advertisement