Anda di sini

Paras enzim kawal otot Kim Chol rendah

Advertisement
 Siti Aisyah dan Doan Thi Huong (dalam gambar) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Siti Aisyah dan Doan Thi Huong (dalam gambar) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang pakar patalogi kimia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa paras enzim yang mengawal otot Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di bawah paras rendah akibat pendedahan kepada racun agen saraf.

Dr Norashikin Othman, yang bertugas di Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur, yang menjalankan analisis terhadap sampel enzim Kim Chol, berkata paras ‘enzyme cholinesterase’ untuk Kim Chol adalah rendah iaitu 344 unit per liter (UL).

Saksi kelima itu menerangkan julat normal bagi enzyme cholinesterase untuk individu lelaki ialah 5320 UL sehingga 12,290 unit UL.

“Paras enzyme cholinesterase dari badan Kim Chol boleh disebabkan oleh pendedahan kepada racun serangga atau racun agen saraf,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang mengapa paras enzim Kim Chol rendah.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama-sama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada jam 9 pagi, 13 Feb tahun ini.

Dr Norashikin berkata paras enzyme cholinesterase bagi Siti Aisyah ialah 6781 UL manakala bagi Doan ialah 7163 UL dan kedua-dua paras enzim itu adalah normal.

Dr Norashikin menerangkan bahawa enzyme cholinesterase berfungsi  untuk memecahkan ‘neurotransmitter’ yang menghantar isyarat kepada otot dan kelenjar untuk mengecut dan ia boleh berada dalam keadaan relaks selepas mengecut.

‘Keseimbangan antara fungsi neurotransmitter dengan enzyme cholinesterase diperlukan untuk memastikan proses pengecutan berlaku dalam keadaan normal. Oleh itu, sekiranya enzim itu kurang dalam badan seseorang, ia akan menyebabkan otot dan kelenjar berada dalam keadaan pengecutan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata air liur keluar daripada kelenjar rembesan dan sekiranya terganggu ia akan mengeluarkan lendir atau cecair yang banyak daripada kelenjar itu.

Kepada soalan Wan Shaharuddin mengenai kaitan sawan dengan pengecutan otot, saksi itu berkata sawan adalah tanda-tanda di mana pengecutan otot berlaku secara berterusan dan air liur keluar daripada kelenjar perembes.

Kelmarin, saksi ketiga yang merupakan Penolong Perubatan di Klinik Perubatan Menara, di klia2, Rabiatul Adawiyah Mohd Sofi, dalam keterangannya berkata seorang pesakit yang dikenali ‘Kim Chol’ berdasarkan pasportnya, kelihatan seolah-olah terkena sawan semasa berada di klinik itu di mana lelaki itu menundukkan kepalanya, dengan air liur dan hingusnya meleleh dan kedua-dua tangannya menggeletar.

Dr Norashikin, 44, yang memberikan perkhidmatan kepakaran dalam bidang patologi kimia khususnya dalam bidang toksikologi klinikal menerangkan beliau menjalankan uji kaji terhadap sampel pesakit melibatkan keracunan.

Diminta menjelaskan mengenai racun agen saraf beliau berkata agen saraf adalah bahan kimia buatan manusia kerana ia melibatkan beberapa bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan agen saraf.

Wan Shaharuddin: Kenapa kita gunakan nama agen saraf?

Dr Norashikin: Kita gunakan nama agen saraf kerana ia boleh mengganggu sistem saraf dalam tubuh badan manusia.

Wan Shaharuddin: Boleh beritahu apakah agen saraf yang wujud di dunia?

Dr Norashikin: Agen saraf terbahagi kepada siri V contohnya ‘VX’ dan siri G contohnya ‘sarin’

Wan Shaharuddin: Adakah siri V dan siri G biasa digunakan sebagai senjata kimia?

Dr Norashikin: Ya

Dr Norashikin berkata, VX  boleh mengganggu otot dan kelenjar yang mengawal air liur, mata, paru-paru dan beberapa organ lain yang boleh menyebabkan muntah, cirit-birit dan kerap kencing.

“VX juga boleh keluarkan peluh yang banyak dan boleh sebabkan anak mata mengecil,” katanya sambil menambah ini adalah disebabkan pengecutan otot yang mengawal anak mata.

Beliau juga menjelaskan bahawa tahap keseriusan sesuatu racun bergantung kepada beberapa perkara antaranya dos atau kepekatannya dan juga cara pendedahan sama ada melalui sedutan, penyerapan melalui  kulit atau tertelan.

“Ketiga ialah jangka masa pendedahan racun itu di mana jangka masa yang singkat boleh sebabkan penyerapan dos racun yang sedikit dan yang keeempat ialah mekanisme yang digunakan untuk menghalang pencemaran seperti basuh tangan, pakai sesuatu yang menghalang penyerapan melalui kulit seperti sarung tangan atau telah mengambil sesuatu antidot yang boleh menghalang racun,” katanya.

Beliau berkata antidot untuk VX ialah ‘atropine’ yang berfungsi untuk menghalang kesan neurotransmitter yang berlebihan.

Dr Norashikin berkata demikian pada hari kedua perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin. — Bernama

Advertisement