LAS VEGAS: Penyiasat sedaya upaya cuba menentukan motif seorang pesara akauntan yang membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dan mencederakan lebih 500 lagi selepas mengumpul stok senjata dalam sebuah bilik hotel dan melepaskan tembakan di lebuh Las Vegas.
Sementara Amerika merenungkan kejadian tembakan besar-besaran paling berdarah dalam sejarahnya, pegawai bertindak dengan berhati-hati terhadap dakwaan kumpulan Islamic State (IS) bahawa Stephen Craig Paddock, 64, melancarkan pembunuhan beramai-ramai pada malam Ahad lepas bagi pihak kumpulan pelampau itu.
Polis berkata Paddock, yang tidak mempunyai rekod jenayah, memecah tingkap bilik hotelnya di tingkat ke-32 sejurus selepas jam 10.00 malam pada Ahad lepas dan melepaskan tembakan bertalu-talu dengan senjata automatik ke atas ribuan orang yang menonton konsert muzik country di lebuh di bawah.
Dalam rakaman video bagi pembunuhan beramai-ramai itu yang disiarkan oleh CNN, bunyi tembakan bertalu-talu yang panjang kedengaran manakala orang menjerit dan mencari tempat perlindungan. Pada mulanya mereka tidak tahu dari mana tembakan itu datang.
“Kami melihat orang di atas tanah. Kami tidak sama ada mereka terjatuh atau terkena tembakan,” kata Ralph Rodriguez, seorang perunding IT dari Lembah Pomona, dekat Los Angeles, yang berada di konsert berkenaan bersama sekumpulan rakan.
“Orang mula mengambil anggota keluarga tersayang dan orang asing juga, dan cuba membantu mereka mengeluarkan diri,” kata Rodriguez.
Kumpulan IS mendakwa Paddock adalah salah seorang daripada askar-askarnya tetapi FBI berkata ia tidak menjumpai sebarang hubungan sedemikian setakat ini dan syerif tempatan menggambarkannya sebagai seorang psikopat tunggal.
Syeriff Joseph Lombardo berkata Paddock melepaskan tembakan menerusi pintu bilik hotelnya dan tembakannya terkena kaki seorang pegawai keselamatan.
Namun apabila sepasukan SWAT menyerbu bilik di mana Paddock tinggal sejak 28 September, mereka mendapati dia sudah membunuh diri.
Sebanyak 23 senjata api termasuk senjata automatik dijumpai dalam bilik hotel.
Dia berkata bilangan kematian terbaharu adalah 59, manakala 527 orang cedera.
Motif bagi pembunuhan beramai-ramai itu belum lagi diketahui, katanya.
“Kami sedang memburu dan menjejaki setiap petunjuk yang kami dapat cari mengenai latar belakangnya,” kata syerif itu dalam satu taklimat larut malam.
Lombardo berkata pihak berkuasa tidak menjumpai sebarang manifesto atau benda lain untuk menjelaskan tindakan Paddock.
“Individu ini penyerang tunggal dan saya tidak tahu bagaimana ia dapat dicegah,” katanya pada awal hari itu.
Lombardo berkata Paddock dipercayai menggunakan tukul untuk memecah tingkap bilik hotelnya sebelum melepaskan tembakan ke atas kira-kira 22,000 orang yang menonton konsert.
IS menggambarkannya sebagai askar khalifah, dan menyatakan dia memeluk Islam beberapa bulan lalu dan menggunakan nama Abu Abdel Bar al-Amriki, ‘Si Warga Amerika’.
Paddock, menurut adik lelakinya, kaki judi taruhan tinggi dan bapa mereka yang juga perompak bank pernah berada dalam senarai 10 Paling Dikehendaki FBI.
Namun Eric Paddock menegaskan, selain itu, abangnya menjalani kehidupan biasa dan menyayangi ibu mereka.
“Abang suka bermain poker video, menyertai pelayaran peranginan dan mengirim biskut kepada ibu.
“Abang tiada fahaman agama atau politik, malah bukan peminat senapang,” tambah adiknya.
Saksi berkata, Paddock mulanya melepaskan berdas-das tembakan dan dipercayai mengisi semula peluru ketika meneruskan serangannya
Pope Francis berkata beliau amat sedih dengan tragedi dahsyat di Las Vegas, Ratu Elizabeth II di Britain menyampaikan takziah dan doa manakala Presiden Russia Vladimir Putin menulis kepada Trump untuk menyampaikan takziah di atas jenayah yang mengejutkan itu. — AFP