Anda di sini

Lelaki dipenjara, denda kerana pecah rumah, curi

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Miri kelmarin kerana kesalahan melakukan pecah rumah dan curi.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 1 November depan untuk mendengar laporan sosial tertuduh kedua, Thien Teck Sheng yang merupakan pesalah muda.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebaskan dengan jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Kebastian Asli, 24, dan Thien Teck Sheng, 19, kedua-duanya dari Tudan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh didapati melakukan pecah rumah dan curi dengan memecah masuk ke kediaman milik Chieng Leh Hock dan mencuri sebuah televisyen.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama dua orang masih bebas jam 4 petang, pada 19 September lalu di sebuah rumah, Taman Desa Senadin Fasa 3 di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie.