Anda di sini

Azmin gagal arah Ketua Polis Negara tangkap Jho Low

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mengarahkan Ketua Polis Negara mencari dan menangkap ahli perniagaan Low Taek Jo atau lebih dikenali sebagai Jho Low berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu di dalam kamarnya, dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke dan Natra Idris manakala peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N. Surendran, R. Sivarasa dan Latheefa Koya bertindak bagi pihak Mohamed Azmin.

Loke ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonan Mohamed Azmin selepas mendapati tiada kenyataan oleh mana-mana agensi penguat kuasa yang membuktikan Jho Low melakukan sebarang kesalahan di negara ini.

“Mahkamah juga mendapati kuasa penyiasatan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman,” katanya.

Tiada sebarang kos ditetapkan oleh mahkamah.

Mohamed Azmin selaku pemohon memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman pada 14 Ogos lepas dengan menamakan ketua polis negara selaku responden.

Dalam permohonan itu, beliau memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden mengambil langkah yang perlu untuk mencari, menangkap dan mengemukakan Jho Low di hadapan mahkamah bagi menghadapi tuduhan jenayah mengikut Seksyen 409 dan 420 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan penipuan.

Mohamed Azmin mengemukakan permohonan itu atas alasan Jho Low telah menyebabkan syarikat 1MDB mengalami kerugian dan pihak ketiga mendapat keuntungan secara salah.

Beliau mendakwa responden mempunyai kesemua maklumat berkenaan yang mengesahkan Jho Low melakukan kesalahan pecah amanah terhadap wang milik 1MDB namun memilih untuk tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangkapnya.

Mohamed Azmin turut mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengumumkan bahawa Jho Low adalah seorang yang dikehendaki berhubung kesalahan membabitkan 1MDB dan responden mempunyai kuasa dan tanggungjawab mengikut Akta Polis 1967 untuk menangkap Jho Low.

Mohamed Azmin berkata, beliau melalui peguamnya telah menulis surat kepada responden pada 3 Ogos lepas namun responden mendakwa perkara itu masih dalam siasatan walaupun hakikatnya segala keterangan telah ada dalam milikan responden.

Sementara itu, Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan semalam.

Sementara itu di Taiping, dua nelayan semalam menjadi individu pertama di Perak didakwa di mahkamah atas tuduhan menggunakan parabola, peralatan komunikasi yang tidak diperakui, dua tahun lalu.

Ong Leng Soo, 48, dan Teoh Tian Sim, 52, mengaku bersalah apabila pertuduhan ke atas mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki satu unit piring parabola, satu unit penukar blok-berhinggar rendah (LNB) dan satu unit dekoder tanpa jenama di kediaman masing-masing.

Ong dituduh memiliki peralatan tersebut di Jalan Pantai, Kuala Kurau dekat sini pada 29 Julai 2015 jam 10.45 pagi, manakala Teoh di alamat dan tarikh sama pada kira-kira jam 11.40 pagi.

Kedua-duanya dikesan memiliki peralatan tersebut dalam satu serbuan oleh Polis Marin Wilayah (1) hasil maklumat Biro Aduan Pengguna Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). — Bernama