Anda di sini

Tidak akan terlepas

Advertisement

APMM Wilayah Sarawak tahan dua bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara.

 Sembilan belas awak-awak serta tekong warga Vietnam ditangkap ketika menceroboh perairan negara di 150 batu nautika dari Tanjong Po, Kuching.
TUMPAS: Sembilan belas awak-awak serta tekong warga Vietnam ditangkap ketika menceroboh perairan negara di 150 batu nautika dari Tanjong Po, Kuching.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak berjaya menumpaskan dan menahan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di negeri ini.

Pengarah Daerah Maritim Kuching Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, dua bot nelayan Vietnam itu ditahan semasa Operasi Permai di kedudukan kira-kira 150 batu nautika dari Tanjung Po, di sini yang dijalankan pada 30 September lalu.

Dalam operasi itu, dedahnya, dua bot terbabit yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan pukat tunda ganding di perairan negara dikesan dan ditahan sekitar jam 10.40 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut kami mendapati  terdapat 19 awak-awak serta tekong dari Vietnam berada di atas bot tersebut.

Kesemua mereka telah ditahan dan direman dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan jika didapati bersalah bot berserta peralatan menangkap ikan boleh disita manakala tekong dan awak-awak boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 setiap seorang termasuk hukuman sebatan dan penjara,” tegas Steve.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas dekat sini semalam.

Jelasnya lagi, selain dua bot nelayan Vietnam yang dianggarkan bernilai RM2 juta termasuk 19 awak-awak serta tekong, sebanyak 21 tan ikan segar yang dianggarkan bernilai RM50,000 turut dirampas.

Sehingga hari ini (semalam) kita telah berjaya menahan 34 bot asing dari Vietnam yang menceroboh perairan negara di Sarawak,” dedah Steve lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti maritim terutama nelayan dan kapal tempatan yang berada di laut melaporkan segera jika ternampak bot asing masuk ke perairan negara.

Maklumkan segera dengan terperinci kedudukan, masa dan tarikh kepada Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak di talian 082-432544 jika ternampak bot asing masuk ke perairan kita.

Dengan maklumat terperinci kita boleh mengambil tindakan yang pantas untuk menahan bot asing tersebut,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Steve berkata bagi tempoh dua minggu lalu, sebanyak tujuh kes daripada 34 bot nelayan Vietnam yang ditahan telah dihadapkan ke mahkamah.

Daripada tujuh kes itu, dua kes berjaya dijatuhkan hukuman termasuk dua bot nelayan Vietnam telah dilucutkan hak.

Manakala lima kes pula, awak-awak dan tekong telah dijatuhi hukuman tetapi lima bot nelayan Vietnam tidak dapat dilucutkan hak kerana kekurangan bukti bahawa mereka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan kita,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menambah baik Akta Perikanan 1985 bagi membolehkan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dapat dilucutkan hak dengan lebih mudah.

 Steve menunjukkan lokasi dua bot nelayan Vietnam itu ditahan.
DI SINI: Steve menunjukkan lokasi dua bot nelayan Vietnam itu ditahan.
 Dua bot nelayan Vietnam bersama ikan segar dianggarkan seberat 21 tan dirampas untuk bahan bukti.
RAMPAS: Dua bot nelayan Vietnam bersama ikan segar dianggarkan seberat 21 tan dirampas untuk bahan bukti.
  • oleh
  • Advertisement