Anda di sini

Serangan di Marseille mengejutkan Perancis

Advertisement

Dua wanita muda terbunuh diserang ganas lelaki bersenjatakan pisau di stesen kereta api

 Gambar yang diperolehi daripada media sosial kelmarin menunjukkan suspek terbaring di atas tanah dikerumuni polis selepas menyerang dua wanita di Stesen Saint-Charles di Marseille, kelmarin. — Gambar Reuters
KEJAM: Gambar yang diperolehi daripada media sosial kelmarin menunjukkan suspek terbaring di atas tanah dikerumuni polis selepas menyerang dua wanita di Stesen Saint-Charles di Marseille, kelmarin. — Gambar Reuters

MARSEILLE: Pasukan penyiasat antiterorisme Perancis semalam berusaha mengenal pasti lelaki bersenjatakan pisau yang menggunakan banyak nama sebelum membunuh dua wanita di stesen kereta api utama di Marseille dalam serangan yang diakui kumpulan Islamic State (IS).

Pembunuhan kelmarin di bandar kedua terbesar Perancis itu menyusuli siri serangan tikaman di seluruh Eropah yang diakui atau dipersalahkan ke atas kelompok radikal itu.

Identiti penyerang di Marseille, seorang lelaki dengan rekod jenayah kecil yang didakwa saksi melaungkan ‘Allahu Akbar’ pada permulaan serangannya, masih belum diketahui.

Penyiasat percaya suspek adalah warga Tunisia yang menggunakan lapan nama berlainan semasa bertembung dengan pasukan keselamatan, termasuk kerana mencuri barang di kedai dan memiliki senjata api secara haram.

Mangsanya meliputi sepasang sepupu dari bandar timur Lyon, kedua-duanya berusia 20 tahun, seorang menuntut di Marseille dan seorang lagi melawat sepupunya itu pada hujung minggu.

Mangsa pertama dikelar lehernya oleh lelaki terbabit yang dirakam kamera pemantauan menyerang dari belakang lalu melarikan diri dari situ, sebelum muncul semula untuk menyerang sepupu mangsa dengan ganas.

Agensi propaganda IS Amaq kemudian menyatakan suspek adalah askar IS.

Penyerang ditembak mati anggota daripada lebih 7,000 anggota pasukan khas Sentinelle yang dikerah meronda di jalanan dan mengawal tapak berisiko tinggi seperti stesen, tarikan pelancong dan rumah ibadat.

Presiden Emmanuel Macron kelmarin menyatakan beliau amat berang dengan perbuatan kejam itu serta berkongsi kesedihan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Serangan mendahulu persidangan Parlimen hari ini untuk mengundi draf undang-undang kontroversi antiterorisme yang menukar sebahagian kuasa luar biasa kepada polis di bawah perintah darurat 22 bulan lalu kepada undang-undang persekutuan.

Kumpulan hak asasi manusia memberi amaran undang-undang keselamatan itu mengurangkan pemantauan kehakiman ke atas tindakan pihak polis.

Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb berkata malam kelmarin bahawa motif penyerang tidak dapat dipastikan tetapi datuk bandar tengah-kanan Marseille Jean-Claude Gaudin menyifatkannya sebagai serangan terorisme.

Polis mengosongkan terminal kereta api indah di tengah Marseille sejurus selepas serangan itu dan menghentikan sementara semua trafik kereta api pada landasan paling sibuk di negara itu.

Saya berada di esplaned di hadapan stesen,” kata Melanie Petit, 18, seorang pelajar.

Saya mendengar seseorang melaung ‘Allahu Akbar’ dan melihat seorang lelaki berpakaian serba hitam.”

Penyerang tidak membawa dokumen pengenalan diri ketika serangan itu, menurut sumber yang rapat dengan siasatan. — AFP

Advertisement