Anda di sini

Pegawai TUDM didakwa terima suapan RM1,500

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM1,500 pada September tahun lepas.

Noor Mohd Syahidami Mohammad Saaid, 39, yang juga Setiausaha di Lembaga Sukan TUDM mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Beliau yang telah berkhidmat di TUDM selama 20 tahun didakwa menerima suapan RM1,500 daripada seorang individu, Roslizawati Mustaffa Kamal sebagai upah bagi setiap kursus sukan yang dijalankannya (tertuduh) dengan alasan wang itu adalah untuk kegunaan Lembaga Sukan TUDM.

Noor Mohd Syahidami yang sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Open University Malaysia Seri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kira-kira jam 6.49 petang pada 14 Sept 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang  lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Harjinder Singh, yang mewakili pegawai tentera itu memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1,500 iaitu bersamaan dengan jumlah wang suapan seperti dalam pertuduhan, atas  alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 2 Nov sebagai tarikh pengurusan kes, selain memerintahkan pasport pegawai tentera itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. — Bernama

Advertisement