Anda di sini

Jamawi sambut baik sistem e-Tauliah

 Jamawi (kanan) berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada Program Forum Santai ‘Sehati Sejiwa’ Hijrah Merdeka 2017 di Surau An-Nur Kampung Batu 3 Padas Valley.
SAMBUT BAIK: Jamawi (kanan) berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada Program Forum Santai ‘Sehati Sejiwa’ Hijrah Merdeka 2017 di Surau An-Nur Kampung Batu 3 Padas Valley.

BEAUFORT: Ketua Belia USIA Sabah Jamawi Jaafar menyambut baik sistem e-Tauliah yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi memudahkan pemohon mendapatkan pentauliahan untuk mengajar atau berceramah agama di negeri ini.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu sudah pasti akan memberi impak yang baik kepada Usia Sabah dalam menggerakkan serta mengembangkan lagi program dakwah di negeri ini.

Bagi Belia USIA Sabah, kita mengucapkan banyak terima kasih atas pendekatan ini kerana memudahkan para penceramah kita di masa hadapan mendapat tauliah untuk mengajar dan mengadakan ceramah keagamaan di negeri ini.

Dengan adanya e-Tauliah ini, ia dapat memendekkan proses dan mempercepatkan kelulusan untuk mengajar serta mengadakan ceramah agama berbanding kaedah terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Forum Santai ‘Sehati Sejiwa’ Hijrah Merdeka 2017 di Surau An-Nur Kampung Batu 3 Padas Valley, di sini, malam Sabtu.

Dalam pada itu, Jamawi memberitahu Belia Usia Sabah akan terus turun padang melaksanakan program dakwah yang menampilkan 21 ustaz muda yang masing-masing mempunyai cara dan pendekatan baharu.

Beliau melihat trend anak muda masa kini yang lebih gemar dengan program yang lebih ke arah santai setelah melaksanakan satu program dakwah di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Program Forum Santai yang diadakan di Beaufort pada malam Sabtu itu adalah kali keenam dan merupakan lokasi terakhir dalam siri jelajah Belia Usia Sabah di seluruh zon di negeri ini.

Program itu bertujuan menyebarkan syiar Islam seterusnya mendekatkan golongan muda terhadap agama menerusi program dakwah yang diyakini mampu memberi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat Islam.