Anda di sini

BRI perluas penggunaan dan galak usaha pengantarabangsaan renminbi China

Advertisement

KUALA LUMPUR: Inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan (BRI), projek mega China  melibatkan pembangunan infrastruktur pada abad ke-21, akan memperluaskan penggunaan renminbi, sekali gus menggalakkan pengantarabangsaan mata wang itu, menurut profesor ekonomi.

Profesor di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata memandangkan renminbi tidak diterima sepenuhnya sebagai mata wang asing, kerajaan China perlu meliberalkan lagi rejim mata wang mereka.

Renminbi belum lagi menjadi mata wang antarabangsa disebabkan kawalan modal (oleh China) secara relatif ke atas akaun modal. Apabila akaun modal dikawal oleh peraturan dan sekatan, tahap keyakinan terhadap renminbi akan berkurangan.

China perlu meliberalkan sistem kewangannya supaya mata wang itu akan lebih diterima, contohnya renminbi bebas diniagakan dan digunakan penduduk di negara lain,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, penggunaan renminbi pada ketika ini adalah terhad hanya untuk tujuan perdagangan malah perkara itu disedari oleh kerajaan China dan ia semakin terbuka dan menggalakkan penggunaan renminbi melalui perdagangan dua hala dalam import dan eksport.

Dr Yeah berkata, secara ringkasnya, BRI mempunyai impak dan akan meningkatkan penggunaan renminbi dalam pelaburan dan aliran modal China ke negara yang terlibat dalam inisiatif BRI.

Ia seterusnya membawa kepada perdagangan dan pelaburan lebih besar dan menyaksikan penggunaan renminbi secara lebih luas sebagai mata wang pertukaran, sebagai contoh untuk membayar balik pinjaman, katanya.

Beliau berkata, kerajaan China secara berperingkat perlu mengantarabangsakan renminbi menerusi pendekatan lebih terbuka, malah usaha menggalakkan perdagangan dalam denominasi renminbi mungkin menjadi penyelesaian untuk China.

Ini memandangkan jumlah dagangan barangan dan perkhidmatan China akan meningkatkan penerimaan renminbi sebagai mata wang transaksi, tambahan pula kebanyakan perdagangan dunia masih didominasi dolar Amerika Syarikat (AS), katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh untuk renminbi diterima sepenuhnya sebagai mata wang antarabangsa, Dr Yeah berkata usaha itu akan mengambil masa, berkemungkinan beberapa dekad.

Peralihan untuk membuka ekonomi dan dipacu sepenuhnya oleh pasaran akan mengambil masa. Ia masih didominasi oleh perusahaan milik negara, di samping menguruskan mata wangnya dan terlibat secara aktif dalam harga kewangan yang tidak terlalu dipacu oleh pasaran.

Ia seharusnya menjadi satu proses berperingkat, jika China membuka terlalu cepat sedangkan pasaran tidak bersedia, sudah tentu ia akan berdepan krisis, seperti risiko aliran modal keluar dan masuk,” katanya.

Dr Yeah berkata, kerajaan China perlu mengurangkan sekatan dan campur tangan, membenarkan renminbi didagangkan di pasaran antarabangsa secara bebas, tambahan pula aktiviti BRI pada jangka panjang akan memberi impak dan membantu renminbi menjadi mata wang antarabangsa.

Walaupun menjadi kuasa besar ekonomi kedua dunia, mata wang China dalam dagangan mata wang dunia masih lagi kecil berikutan sekatan ke atas penggunaan renminbi dalam aktiviti kewangan dan ia diuruskan oleh sistem apungan.

Ini berbeza dengan dolar AS yang bebas diniagakan dan sebarang peningkatan dan penyusutan ke atas mata wang itu ditentukan terutamanya oleh penawaran dan permintaan, sekali gus menunjukkan nilai sebenar dolar AS. — Bernama

Advertisement