Anda di sini

Projek CAHAYA bantu pelajar menguasai BI menerusi teknik teater

Advertisement
 Normah (dua kiri) Sue (empat kiri) dan Sadera (lima kiri) bergambar bersama pelajar dan sebahagian pengajar SK Semenggok. Turut kelihatan Guru Besar Ensnat Mosa.
UNTUK ALBUM: Normah (dua kiri) Sue (empat kiri) dan Sabera (lima kiri) bergambar bersama pelajar dan sebahagian pengajar SK Semenggok. Turut kelihatan Guru Besar Ensnat Mosa.

RASA sayang mendalam dan ingin membantu pelajar khasnya di luar bandar Sarawak menguasai Bahasa Inggeris, tiga wanita berbeza latar belakang sosial bergabung menganjurkan aktiviti amal dikenali ‘Projek CAHAYA’.

 Tiga wanita ini iaitu usahawan wanita berjaya anak jati Sarawak Sue Tiong, Pengasas Masakini Theatre Company Puan Sri Sabera Shaik dan Lagenda Teater Negara Normah Nordin merupakan gandingan mantap membantu pelajar sekolah rendah menguasai BI menerusi teknik teater.

 Normah anak kelahiran Bentong, Pahang merupakan individu pertama menubuhkan FINAS (Perbadanan Pembangunan Filem Negara) dan pengarah (teater, TV dan acara) berjiwa besar untuk membantu belia dan golongan memerlukan memperkasa diri selama ini aktif membantu pelajar luar bandar di Semenanjung Malaysia dan Sabah menerusi seni dan teater.

 Manakala Sabera berasal dari Kelantan merupakan penulis skrip, pengarah muzik serta pelakon teater semenjak 1995 menyimpan hasrat untuk membantu ‘pelajar bermasalah’ yang datang dari keluarga bermasalah.

 “Ketiga-tiga kami mempunyai rasa sayang dan prihatin yang amat mendalam ke atas kanakkanak serta wanita yang kurang bernasib baik.

 Saya sering berfikir kenapa tidak membantu negeri saya sendiri ketika pada masa sama saya sibuk membantu dunia.

 Ketika ini Sue menjadi mentor kepada beberapa kumpulan beliau di seluruh dunia termasuk mentor peribadi dua belia dari Afrika Selatan yang memulakan penglibatan dalam bidang keusahawanan.

 “Rasa sayang dan prihatin yang mendalam inilah yang menyatukan kami sebulan lalu dan lahirlah Projek CAHAYA... Kami memilih Sarawak sebagai lokasi pertama projek ini dan ternyata ia membawa ‘pulangan’ yang sukar dinyatakan dengan kata-kata,” ujar Sue.

 Bagi projek perintis ini mereka telah memilih beberapa sekolah rendah dan melibatkan 115 pelajar berusia 10 hingga 12 tahun, berlangsung selama dua hari iaitu 19 hingga 20 September 2017.

 Sabera menambah kepentingan Projek CAHAYA ialah meningkatkan kesedaran perlunya memperkasa belia atau anak-anak dari keluarga bermasalah dan masyarakat tidak boleh mengabaikan mereka.

 “Anak-anak ini mempunyai emosi yang terganggu atau hidup dalam trauma akibat masalah keluarga dihadapi, Projek CAHAYA ini merupakan alat untuk membuat mereka bangkit terutama dari segi minda supaya berfikiran rasional pada masa akan datang.

 “Akhirnya mereka dapat menyumbang untuk diri sendiri, komuniti dan negara ibarat cahaya yang menyuluh dalam kegelapan,” kata Sabera.

 Sementara itu Normah berkata beliau dan dua rakan gandingannya itu mahu sedaya mungkin membantu pelajar luar bandar berjaya seperti di bandar.

 “Kita sering mendengar ada pihak mengatakan pelajar kita lebih-lebih di luar bandar lemah dalam BI tetapi ada tak usaha dilakukan untuk memperbaiki situasi ini? “Maka kami tanpa mengambil kira kepentingan sendiri, dengan cara kami sendiri dan kemahiran yang ada cuba membantu memudahkan golongan ini menguasai BI, ia ternyata berjaya kerana saya telah melakukannya semenjak sembilan tahun lalu di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dan Kundasang Sabah,” katanya.

 Selain membantu pelajar luar bandar menguasai BI menggunakan teknik teater, Normah atau lebih popular dikenali CNN (Cikgu Normah Nordin) juga giat sebagai ‘Badut Hospital’ menghiburkan kanak-kanak yang sakit di hospital.

 Mengulas lanjut mengenai Projek CAHAYA Sue berkata mereka bertiga akan datang semula ke Sarawak untuk siri kedua projek berkenaan pada Januari tahun hadapan.

 “Amat besar harapan kami untuk menubuhkan satu pusat bagi melatih pelatih dalam kalangan orang Sarawak atau di negeri-negeri tertentu agar mereka boleh membantu pelajar luar bandar menguasai BI mengguna pakai model kami.

 “Diharap juga model yang kami gunakan ketika kini akan ditambah nilai pada masa akan datang agar impaknya lebih berjaya,” ujar Sue.

  • oleh
  • Advertisement