Anda di sini

Cungkil Permata Tersembunyi Dari Dalam

Advertisement

Sewaktu kami sekeluarga menonton cerita Avengers, saya mula terfikir tentang adi wira dan perubahan menakjubkan yang dialami mereka. Hampir semua adi wira, sama ada Spiderman mahupun Incredible Hulk, melalui proses transformasi,  bertukar daripada insan biasa menjadi makhluk yang sangat berkuasa.

Peter Benjamin Parker, adi wira kegemaran saya sepanjang zaman, hanyalah seorang lelaki muda yang miskin dan yatim piatu. Dia menjalani perubahan aneh, bertukar menjadi Spiderman Hebat setelah terkena gigitan lelabah radioaktif.  

Begitu juga musuh ketatnya, Green Goblin. Lelaki ini, pada asalnya seorang ahli perniagaan, bertukar bentuk menjadi penyangak yang tersangat jahat. Dr. Bruce Banner pula secara tidak sengaja terdedah kepada radiasi; hasilnya Banner memiliki kuasa Hulk yang luar biasa.

Hampir kesemua adi wira dan penyangak ini berubah memiliki kuasa yang menakjubkan hasil pengaruh luaran (iaitu labah-labah, serum, radiasi).

Lucunya, kajian pula menunjukkan transformasi diri kebanyakannya bermula dari dalam. Malah kepimpinan dan gandingan yang hebat juga tercapai dari dalam, bukannya melalui perubahan dari luar.

Transformasi dalam dunia perniagaan

Namun tidak menghairankan, banyak perniagaan yang tercari-cari ‘gigitan berbisa’ untuk melaksanakan perubahan. Kebanyakannya melakukan transformasi dengan melantik ketua pegawai eksekutif baharu. Ada yang memilih untuk meninggalkan industri ‘lapuk‘ lalu menceburi pasaran baharu yang  tengah hangat.  

AOL dan Time Warner membuat keputusan untuk bergabung dengan harapan gandingan dua gergasi ini bakal melahirkan harimau muda yang tajam taringnya.  Namun perniagaan lain memilih untuk memperkenalkan produk baharu atau meniru idea dari luar untuk mengubah organisasi. Lazimnya usaha sebegini gagal.

Meskipun begitu, banyak transformasi  dalam perniagaan bukannya datang dari luar. Sebaliknya transformasi luar biasa yang tercatat dalam sejarah, seperti pembaharuan Apple pada tahun 1997 sehinggalah kebangkitan Old Spice, semuanya bertumpu pada desakan dalaman.

Marvel

Malah, syarikat induk Spiderman, yang menampilkan kisah transformasi Marvel Entertainment, semuanya secara jelas menunjukkan perubahan tidak tercetus dari luar, tetapi bermula dari dalam.

Pada tahun 1996, Marvel mencatatkan kerugian besar sebanyak $464 juta. Pada 8 Oktober 1996, Marvel mengumumkan ia akan melanggar perjanjian pinjaman bank tertentu disebabkan oleh penurunan hasil jualan dan keuntungan. Satu pertiga daripada pekerjanya dipecat.  

Kemudian pada 27 Disember 1996, penerbit Marvel Comics memfailkan tuntutan bawah Bab 11 Perlindungan Kemuflisan di New York. Ini merupakan peluru terakhir yang menenggelamkan Marvel, setelah berusaha mencari penyelesaian selama bertahun-tahun.

Kesemua usaha awal Marvel untuk berubah ditumpukan terhadap mencari ‘gigitan berbisa’ ajaib.  

Pertama, mereka percaya bahawa satu-satunya cara untuk berubah adalah melalui pengambilalihan dan perkembangan rantaian nilai. Ini bermula dengan pengambilalihan Hero World, pengedar komik kecil-kecilan. Kemudian disambung pula dengan Fleer and Skybox Trading, iaitu pengeluar kad dagangan sukan. Ini diteruskan lagi dengan pengambilalihan Toy Biz, pereka dan peruncit mainan kanak-kanak; Panini Group, pengeluar pelekat hiburan dan sukan dari Itali; serta Kumpulan Penerbitan Welsh dan Penerbitan Malibu.

Setiap pengambilalihan membawa mereka tersasar lebih jauh daripada transformasi yang diidamkan. Mereka turut menceburi perniagaan restoran dengan menubuhkan Restoran Marvel. Mereka berbuat demikian dengan harapan usaha ini bakal menyuntik ‘gigitan berbisa’ yang bakal mengubah syarikat.  

Namun semuanya tidak berkesan. Jadi, bagaimana Marvel  berjaya melakukan transformasi?

Kejayaan Marvel mengubah diri

Pada tahun 1999, Marvel akhirnya memutuskan untuk meneliti masalah dari akar umbi. Dengan meneliti satu-persatu aspek dalaman, akhirnya mereka menyedari mereka ada banyak harta tersembunyi.

Salah satunya ialah karakter remaja lelaki canggung yang bergayut dengan tali lelabah, sekumpulan mutan dan seorang saintis yang berubah menjadi hijau apabila berang. Marvel mempunyai koleksi adi wira dan penyangak yang menakjubkan, tetapi mereka tidak pernah menyedari lubuk emas yang mereka miliki.  

Adi wira Avengers yang membariskan Spider Man, Iron Man, Incredible Hulk, X-Men serta penyangak terjahat seperti Venom, Loki, Dr. Doom yang melengkapi pasukan adi wira ini merupakan segerombolan selebriti komik yang  tidak diambil peduli dan dipandang enteng oleh Marvel bertahun-tahun lamanya.  

Marvel mula menyedari kelebihannya sendiri, yang mencakupi lebih 5000 karakter dan kisah. Inilah yang benar-benar memenangi hati para pembaca komik sebelumnya (termasuklah saya). Kelebihan ini diguna pakai sebagai strategi untuk mengubah syarikat ini.

Daripada menjadi pemilik francais komik, Marvel bertukar peranan sebagai pemegang lesen bagi karakter dan penceritaan, lalu mengangkat karakter popular Marvel menjadi bintang filem.

Pada tahun 2005, Marvel mencatatkan keuntungan melebihi $120 juta.  Rupa-rupanya, transformasi Marvel bertitik tolak dari dalam.  Namun, bertahun-tahun lamanya, semua di Marvel mencari-cari cara membaik pulih dari luar.

Permata tersembunyi ada dalam organisasi

Kisah ini sama sahaja bagi kebanyakan organisasi. Transformasi anda tidak bergantung pada ‘gigitan berbisa’ seseorang konsultan terkemuka mahupun ketua pegawai eksekutif baharu. Penggabungan selalunya tidak berhasil.  

Harta karun yang dicari-cari sebenarnya terletak pada organisasi anda. Dan selalunya harta karun ini jarang dianggap sebagai aset yang bernilai. Hakikatnya, harta ini terhijab walaupun berada di hadapan mata. Ambil masa untuk selidiki harta yang bernilai dalam perniagaan anda sedalam-dalamnya, anda pasti menemuinya.

Kajian 10 tahun oleh Bain & Co. mendedahkan bahawa 75% daripada syarikat Fortune 500 “menghadapi ancaman pemupusan dalam sedekad penubuhannya” melainkan jika syarikat dapat mengcungkil “harta tersembunyi ... bagi mengenal pasti diri semula”.  

Kebangkitan Marvel daripada pemupusan menunjukkan adi wira bukan satu-satunya entiti yang mempunyai kuasa tersembunyi.

Perniagaan juga memiliki kuasa tersebut, yang berada dalam bentuk aset yang tidak dimanfaatkan dan tidak dihargai. Kuncinya ialah kita perlu keluar dan mencari permata tersembunyi itu, serta memanfaatkannya seperti yang dilakukan Marvel.

Cari permata tersembunyi dalam diri

Hal ini boleh juga diaplikasikan oleh kita semua. Dalam diri kita, tertanam permata yang tersembunyi, mungkin bakat yang tidak diasah dan aspirasi yang sudah lama terbenam.

Transformasi diri sebenarnya bermula dari dalam. Namun kita semua masih tercari-cari akan gigitan ajaib yang bisa merobah hidup. Kita melanggan program diet untuk mengubah penampilan diri. Kita mencari sesuatu yang baharu untuk mengubah nasib. Tetapi, semua pemimpin terkemuka akan memberitahu anda bahawa kekuatan anda sebenarnya terletak dalam diri. Kita hanya perlu mencari kekuatan itu dan memanfaatkannya sehabis baik.

CEO Avon Products, Andrea Jung meluangkan masa untuk bermuhasabah, mengenali kekuatan tersembunyi dan tujuan hidupnya sebelum dia mengubah Avon, daripada misi menjual kosmetik kepada memerkasakan wanita.  

Howard Schultz menubuhkan Starbucks setelah bermuhasabah sewaktu dia kecil, apabila dia berjanji pada diri untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan terhadap ayahnya.

Rakan saya Jamie Andrew kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya dalam kemalangan di sebuah gunung, namun dengan bermuhasabah, dia menyedari kemampuannya untuk menjadi yang terhebat. Dia telah mendaki gunung, menyertai triatlon Ironman, dan boleh menjugel beberapa biji bola, sekalipun tanpa tangan dan kaki.

Untuk berubah, kita tidak memerlukan "gigitan berbisa" (pengaruh luaran). Semuanya datang dari dalam.

Langkah mencari permata tersembunyi

Jadi, bagaimana boleh kita ketemui permata tersembunyi dalam organisasi dan diri kita sendiri?  Saya sarankan anda untuk mengikuti langkah-langkah ini:

  • Mulakan dengan menyelami perniagaan/diri anda sedalam-dalamnya.  Lontarkan soalan-soalan yang rumit.  Lakukan diagnostik rapi terhadap perniagaan dan cuba fahami keadaan semasa perniagaan dan kekuatan anda.
  • Selidiki setiap aspek perniagaan dari kaca mata berbeza untuk mencari aset tersembunyi. Ingat, aset tersembunyi ini bukanlah betul-betul tersorok dari pandangan mata. Aset sebegini mempunyai ciri-ciri yang membolehkan anda melihat perniagaan dari cara yang tidak pernah anda sedari sebelum ini.
  • Wujudkan inventori aset tersembunyi. Senaraikan setiap satu aset tersembunyi yang ada. Selalunya hal ini memerlukan anda untuk keluar serta berborak dengan pelanggan dan pekerja.
  • Manfaatkan aset tersembunyi ini dalam proses transformasi. Apabila anda telah kenali aset tersembunyi itu, bangunkan model perniagaan dengan memanfaatkan kelebihan aset kepunyaan anda.

Akhir kata

Beberapa tahun lepas dalam majlis perkahwinannya, seorang lelaki bernama John menerima hadiah daripada ibu bapanya, iaitu sebuah lukisan. Lukisan itu bukanlah kesukaannya namun dia menyimpan hadiah itu selama 45 tahun, sehingga ibu bapanya meninggal dunia. Dia kemudian menyerahkan lukisan itu kepada seorang lelaki pengutip sampah.

Pengutip sampah itu pergi ke sebuah kedai untuk memasang bingkai baru kerana bingkai yang lama sudah usang. Pemilik kedai itu menilai lukisan tersebut dan memberitahu bahawa lukisan itu nilainya berjuta-juta. Pengutip sampah tersebut terus menjual lukisan itu dan tidak percaya bahawa tuah berpihak pada dirinya.

Selama 45 tahun, John tidak pernah menyedari apa yang ada dalam rumahnya sendiri, iaitu sebuah aset yang sangat menakjubkan. Akhirnya, dia menyerahkan permata tersembunyi itu, tanpa mengambil manfaat daripadanya.

Dalam diri kita terdapat permata-permata sebegini.  Adakah kita bakal mensia-siakan permata bernilai ini dan kehilangannya seperti John?  

Permata tersembunyi ini ada dalam perniagaan kita.  Adakah kita sedar akan kewujudannya? Janganlah kita tertunggu-tunggu tibanya saat gigitan lelabah berbisa.

"Transformasi bermula dari diri kita."

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel [email protected]

Sumber

  • oleh
  • Advertisement