Anda di sini

Arja Lee, Sari Yanti dalam ‘Sekali Ku Lafazkan Cinta’ di TV2

Advertisement
__alt__

CINTA sejati sukar ditemui namun hakikatnya ia tetap ada dan bergantung kepada rezeki seseorang ditemukan dengan pasangan yang sanggup berkorban apa sahaja demi mengecap bahagia dalam berumahtangga.

 Kesetiaan dan pengorbanan cinta dalam rumah tangga diterjemahkan pengarah Haris Kadir dalam telemovie mengisi slot Citra di TV2 bertajuk ‘Sekali Kulafazkan Cinta’ pada 6 Oktober ini, jam 9.30 malam.

 Telemovie ini mengisahkan Hakimi berkahwin dengan Nurlisa setelah bersetuju dengan desakan ibu bapa masing-masing yang risau mengenai jodoh anak mereka setelah usia semakin meningkat.

 Apatahlagi ketika itu masing-masing tidak mempunyai calon yang sesuai untuk berkahwin.

 Mereka kemudiannya bercinta selepas berkahwin dan hidup bahagia dalam menjalani alam rumah tangga.

 Apatahlagi setelah mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Aqil.

 Kehidupan mereka dianggap lengkap dan saling menyayangi.

 Satu hari berlaku kejadian yang tidak terduga bila Nurlisa jatuh akibat diragut ketika bertemu temannya, Alia.

 Nurlisa koma untuk tempoh yang panjang.

 Sejak itu Hakimi berkorban menjaga Nurlisa di hospital dan sanggup mengambil cuti tanpa gaji.

 Semuanya dilakukan kerana rasa sayangnya terhadap isterinya itu.

 Dia percaya isterinya itu akan kembali pulih seperti sediakala.

 Sementara itu Alia pula merasa bersalah atas kemalangan yang menimpa Nurlisa.

 Dia sering meluangkan masa untuk melawat Nurlisa serta menawarkan diri untuk menjaga Aqil.

 Aqil dilayan seperti anaknya sendiri.

 Situasi itu membuatkan keluarga Nurlisa serba salah.

 Mereka terharu pengorbanan anak menantu mereka Hakimi dan memberikan cadangan supaya Hakimi berkahwin dengan Alia.

 Tetapi cadangan untuk menjodohkannya dengan Alia ditolak mentah-mentah oleh Hakimi.

 Baginya cintanya hanya satu untuk Nurlisa dan bukan orang lain.

 Setelah 6 bulan berlalu, Nurlisa sedar daripada koma dan diberitahu tentang pengorbanan dan kesetiaan suaminya.

 Beliau meminta Hakimi mengahwini Alia sebelum beliau meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan.

 Namun begitu Hakimi tetap setia dengan cintanya sehingga ke tua namun mengahwinkan anaknya Aqil dengan anak Alia sebagai ganti permintaan arwah isterinya Nurlisa.

 Telemovie ini dibintangi oleh Arja Lee, Sari Yanti, Leeza Zain, Lia Natalia dan Mak Wan.

 Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov. my).

 Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile.

 Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Advertisement