Anda di sini

Wanita antara tiga individu direman bantu siasatan kes rogol gadis

Advertisement

MIRI: Seorang wanita antara tiga individu yang diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan polis berhubung kes rogol membabitkan seorang gadis 13 tahun.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Clarissa Carol dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Clarissa memberitahu seorang ibu, 45, telah membuat laporan polis dengan menyatakan pada jam 5 petang, 17 September lalu, anak perempuannya yang berusia 13 tahun telah dijumpai dalam keadaan baik dan selamat di rumah sepupunya di kawasan Permyjaya.

Pengadu mahu anaknya menjalani ujian air kencing dan pemeriksaan di Hospital Miri kerana mengesyaki anaknya telah dirogol.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 11.35 pagi, 27 September lalu di kawasan tepi Jalan Chia Tze Chin di sini, sepasukan polis diketuai Inspektor Saiful Azizi Kamlun yang menjalankan Ops Cantas telah menangkap dua lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kes.    

Dalam permohonan lanjutnya, Clarissa memberitahu reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah  ke atas ketiga-tiga suspek yang berusia 39, 27 dan 31, masing-masing dari Holiday Park, Taman Li Hua Jalan Riam dan Kampung Lereng Bukit di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan suspek-suspek terbabit, mendapatkan laporan perubatan mangsa dan membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas ketiga-tiga suspek dan tempoh reman akan tamat pada 1 Oktober ini.

Advertisement