MELAKA: Seorang lulusan Kolej Vokasional didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini semalam selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lepas.
Hakim Norma Ismail menjatuhi hukuman itu ke atas Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dari Alor Setar, Kedah yang membuat pengakuan bersalah sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan gadis itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Nur Farahanis Ezatty didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil, pada jam 10.15 malam, 25 Jan lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) akta itu dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Nurul Khairiyah Samsudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit, berikutan proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah selain kes berkenaan bukan pertama di Melaka dan Malaysia.
Peguam Janariah Mustafa yang mewakili gadis itu merayu hukuman ringan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya, menjimatkan masa mahkamah, selain insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. — Bernama