Anda di sini

PBB gesa Myanmar tamatkan ‘mimpi ngeri’ pelarian Rohingya

Advertisement
 Dua lelaki Rohingya meratap hiba di sisi jenazah anak-anak mereka, yang mati lemas selepas bot yang membawa pelarian Rohingya karam di perairan Bangladesh, di sebuah sekolah di Cox’s Bazar semalam. — Gambar AFP
MENYAYAT HATI: Dua lelaki Rohingya meratap hiba di sisi jenazah anak-anak mereka, yang mati lemas selepas bot yang membawa pelarian Rohingya karam di perairan Bangladesh, di sebuah sekolah di Cox’s Bazar semalam. — Gambar AFP

COX’S BAZAR: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa pe-mimpin Myanmar agar menamatkan “mimpi ngeri” yang dihadapi etnik Rohingya yang lari daripada kempen ketenteraan, selepas sekurang-kurangnya 19 orang lemas manakala puluhan lagi hilang apabila sebuah bot yang membawa keluarga Rohingya karam di perairan Bangladesh.

Lebih setengah juta orang Rohingya sudah membanjiri Bangladesh sejak sebulan lalu, selepas mereka lari daripada operasi kejam oleh tentera Myanmar ke atas pemberontak Rohingya yang memusnahkan kampung di negeri utara Rakhine.

Puluhan sudah lemas ketika mereka cuba menyeberangi perairan yang memisahkan kedua-dua negara, manakala mereka yang terselamat berdepan bahaya baharu apabila mereka memenuhi penempatan pelarian yang kotor di mana bekalan makanan dan air bersih begitu sedikit.

Krisis kemanusiaan yang semakin buruk itu mendo-rong Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan mesyuarat pertamanya mengenai Myanmar dalam tempoh lapan tahun, tetapi negara-negara anggota tidak dapat mencapai ketetapan bersama.

Amerika Syarikat (AS) menyelar tentera kerana cuba “membersihkan masyarakat etnik minoriti dari negara itu” manakala Beijing dan Moscow menawarkan soko-ngan kepada pihak berkuasa Myanmar yang menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pembersihan etnik sedang dijalankan.

Dalam ucapannya kepada 15 negara anggota majlis, Guterres menggesa Myanmar agar menghentikan operasi ketenteraan dan membuka akses kemanusiaan ke wilayah barat yang dilanda konflik itu.

“Situasi di sana sudah ber-ubah menjadi darurat pelarian yang paling cepat berkembang di dunia, satu mimpi ngeri hak asasi manusia dan kemanusiaan,” katanya dan meminta mereka yang hilang tempat tinggal disebabkan oleh konflik itu untuk dibenarkan pulang.

Ketua PBB itu berkata “keganasan sistemik” boleh menyebabkan pergolakan melimpah ke bahagian tengah negeri Rakhine, dan mengancam 250,000 Muslim dengan kehilangan tempat tinggal.

Beberapa kritikan paling lantang datang daripada utusan AS Nikki Haley, yang menuduh pihak berkuasa Myanmar melancarkan “kempen berterusan yang kejam untuk membersihkan sebuah masyarakat etnik minoriti dari negara itu”.

“Ia sepatutnya memalukan pemimpin kanan Burma yang sudah begitu banyak berkorban bagi sebuah negara Burma yang terbuka dan demokratik,” ujarnya, dalam kenya-taan yang dipercayai teguran kepada pemimpin awam di negara itu, Aung San Suu Kyi, dengan reputasinya sebagai juara hak asasi manusia dicemari krisis berkenaan.

Burma adalah nama alternatif bagi Myanmar.

Namun Myanmar menerima sokongan kuat daripada Rusia dan China, sekutunya yang erat dan rakan dagangan penting.

“Masyarakat antarabangsa mesti sedar tentang kesukaran yang dihadapi kerajaan Burma, bersabarlah dan memberi bantuan kepada-nya,” kata utusan China, Wu Haitao.

“Kita mesti berhati-hati apabila kita bercakap mengenai pembersihan etnik dan genosid,” ujar duta Rusia, Vassily Nebenzia, yang menyebelahi pendirian kerajaan Myanmar apabila beliau menyalahkan puak militan Rohingya kerana “membakar kampung”.

Kebakaran memusnahkan ratusan perkampungan di utara Rakhine sejak sebulan lalu, dalam apa yang disebut oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai usaha yang diketuai tentera untuk mengusir masyarakat minoriti tanpa negara itu yang sudah berdepan dengan penindasan selama berdekad-dekad.

Myanmar, sebuah negara majoriti penganut Buddha, menafikan dakwaan tersebut dan mempertahankan operasi-nya sebagai pembanterasan yang seimbang ke atas puak militan Rohingya yang mencetuskan tindak balas tentera selepas mereka melancarkan serangan berdarah ke atas pos polis pada 25 Ogos lalu.

Pihak berkuasa menyekat akses ke pusat keganasan tetapi bersetuju pada minggu ini untuk membenarkan lawatan PBB ke zon konflik.

Lawatan itu sudah ditunda ke 2 Oktober kerana cuaca buruk, media kerajaan melaporkan semalam.

Tragedi bot karam ber-kenaan merupakan kejadian terbaharu dalam siri nahas maut ketika pelarian yang terdesak berpusu-pusu mema-suki Bangladesh, di mana mereka diletakkan dalam kota khemah yang cabuk di tengah-tengah kekurangan hampir semua bentuk bantuan yang serius.

Saksi dan mangsa selamat berkata kapal yang terbalik kelmarin berada hanya bebe-rapa meter sahaja dari pantai dalam keadaan laut bergelora, selepas ia dibadai hujan lebat dan ribut kencang.

Bilangan kematian dikhua-tiri akan meningkat dengan ketara selepas Pertubuhan Migrasi Antarabangsa berkata kira-kira 100 orang, kebanyakannya kanak-kanak, dipercayai menaiki bot yang karam itu.

Mayat 16 orang – keba-nyakannya kanak-kanak –              dijumpai kelmarin dan dibawa ke sebuah sekolah tempatan, kata ketua pasukan pengawal pantai Nasir Uddin.

Dua lagi mayat budak lelaki dikeluarkan pagi semalam, ujarnya, manakala mayat seorang lagi wanita terdampar di pantai di sebuah lokasi berasingan.

“Mereka lemas di depan mata kami. Beberapa minit kemudian, ombak membawa mayat ke pantai,” kata seorang pekedai tempatan, Mohammad Sohel.

Seorang mangsa selamat yang sedih memberitahu AFP, isterinya dan salah seorang anak mereka maut apabila bot berkenaan karam.

“Bot itu melanggar se-suatu di dalam air ketika ia mendekati pantai. Kemudian ia terbalik,” kata Nurus Salam, yang berlepas ke Bangladesh dari sebuah kampung tepi pantai di Myanmar lewat Rabu lepas bersama keluarga-nya. — AFP

Advertisement