MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki lain.
Christopher Mering Jalong, 26, dari Jalan Sentosa Taman Jelita, Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Mohammad Zamri Taha dengan cara mengeluarkan parang dan senapang patah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang di hadapan sebuah rumah di Lusut Jaya 1, Taman Tunku di sini.
Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.
Majistret Zuraini Ali Musa menetapkan 12 Oktober ini untuk pengurusan kes.
Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,300 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.