Anda di sini

Lelaki didenda kerana jalan perniagaan mesin judi siber

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,000 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah menjalankan perniagaan mesin judi siber secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Edward Sim Chai Pook, 44, dari Lorong 2, Pujut 4 1/2 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai penjaga pusat hiburan telah dituduh menjalankan perniagaan mesin judi siber tanpa mempunyai lesen yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.15 malam, 16 September lalu di sebuah kedai kopi di Jalan Cressandra di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan dia baharu bekerja sambilan selama dua hari di premis itu sebelum ditangkap.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement