Anda di sini

Presiden Mahkamah Rayuan berikrar lakukan yang terbaik

Advertisement

PUTRAJAYA: Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan untuk tempoh dua tahun berikrar untuk melakukan yang terbaik dalam menjalankan tugas mengikut kemampuannya.

Beliau berkata pelantikannya selama dua tahun sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan sudah mencukupi untuk meletakkan perkara-perkara pada perspektif yang betul.

Zulkefli, 66, berkata beliau akan cuba untuk meneruskan usaha -usaha murni yang dilaksanakan oleh pendahulu beliau iaitu Tun Md Raus Sharif yang kini diangkat menjadi Ketua Hakim Negara.

“Sasaran saya ialah untuk menyelesaikan kes-kes berdasarkan garis semasa,” kata beliau sambil menambah bahawa garis semasa bermakna kes mahkamah harus diselesaikan dalam  masa setahun atau kurang dari tarikh kes itu difailkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada upacara yang berlangsung di Bilik Kunjung di pejabat Ketua Hakim Negara. Zulkefli berkata jika lanjutan khidmatnya sebagai hakim tambahan meliputi tiga tahun, beliau dan Raus akan bersara pada tempoh yang sama.

“Saya fikir tempoh dua tahun itu cukup baik. Sekiranya tempoh itu tiga tahun seperti Raus, maka kami berdua yang perbezaan umur hanya kira-kira sebulan akan bersara pada masa yang sama.

“Jadi, saya mengambil masa dua tahun, Saya fikir tempoh setahun diperuntukkan untuk mencari pengganti,” kata beliau.

Hakim-hakim lain dalam Badan Kehakiman yang kini berkhidmat ialah Tan Sri Richard Malanjum selaku Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Tan Sri Ahmad Maarop, 64, selaku Hakim Besar Malaya.

Zulkefli mengangkat sumpah jawatan di hadapan hakim kanan Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtarudin Baki dengan disaksikan oleh Raus. Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga hadir pada upacara tersebut.

Pada 1 April, tahun ini, Raus dan Zulkefli dilantik ke jawatan masing-masing sekarang apabila Tun Arifin Zakaria bersara wajib pada usia 66 tahun. Pada 7 Julai tahun ini, Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan untuk tempoh masing-masing tiga tahun dan dua tahun supaya mereka dapat terus berkhidmat dalam jawatan sekarang.

Raus danZulkefli sepatutnya bersara, masing-masing pada 3 Ogos dan 27 Sept, selepas lanjutan tempoh selama enam bulan apabila mencapai umur 66 tahun.

Zulkefli berkata beliau amat mengenali hakim-hakim mahkamah rayuan dan keupayaan mereka kerana sebagai Hakim Besar Malaya  selama lima tahun, beliau menugasi hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan sesetengah daripada hakim tersebut telah diangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

Zulkefli berkata beliau menantikan suatu hari nanti apabila seorang hakim wanita menyandang jawatan tertinggi badan kehakiman berdasarkan komposisi hakim-hakim mahkamah rayuan yang lebih ramai hakim lelaki.

Beliau berkata empat hakim wanita yang diangkat pada Isnin ke Mahkamah Persekutuan dan tiga hakim wanita ke Mahkamah Rayuan, telah melangkaui beberapa hakim kanan lelaki yang menunjukkan bahawa mereka diangkat ke jawatan itu berdasarkan merit.

Zulkefli berkata Tan Sri Siti Norma Yaakob sebelum ini menyandang jawatan Hakim Besar Malaya.

Beliau juga mengalu-alukan cadangan melanjutkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun tetapi ia hanya bagi hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan dan tidak terpakai bagi hakim-hakim Mahkamah Tinggi.

Zulkefli berkata sepanjang kerjayanya sebagai hakim,  beliau tidak dapat  melupakan kes “Al Maunah” yang perbicaraan kes itu didengar dihadapannya apabila beliau ketika itu hakim Mahkamah Tinggi pada 2001.

Dalam kes tersebut, 28 tertuduh yang menghadapi pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, telah menceroboh masuk ke kem tentera dan melarikan senjata api dan mendirikan khemah di Bukit Jenalik, Perak sebelum berbalas-balas tembak dengan pasukan keselamatan.

Zulkefli berkata beliau juga telah menghasilkan hampir 100 penghakiman Mahkamah Persekutuan secara bertulis. — Bernama

Advertisement