Anda di sini

PM Jepun bubar Dewan Rakyat

Advertisement
 Abe (tiga kiri) bersama anggota partinya mengangkat penumbuk ketika mereka berikrar untuk memenangi pilihan raya tergempar yang dijangka diadakan pada 22 Oktober, di Ibu Pejabat Parti LDP di Tokyo, semalam. — Gambar Reuters
IKRAR MENANG: Abe (tiga kiri) bersama anggota partinya mengangkat penumbuk ketika mereka berikrar untuk memenangi pilihan raya tergempar yang dijangka diadakan pada 22 Oktober, di Ibu Pejabat Parti LDP di Tokyo, semalam. — Gambar Reuters

TOKYO: Dewan Rakyat Jepun dibubarkan semalam untuk memberi laluan kepada pilihan raya tergempar yang dijangka diadakan pada 22 Oktober selepas ia diumumkan oleh Perdana Menteri Shinzo Abe untuk mengesahkan mandatnya setelah menghadapi cabaran yang semakin meningkat dari sebuah parti konservatif baharu yang popular.

Abe, seorang konservatif yang kembali memegang kuasa pada 2012, berharap peningkatan dalam sokongan pengundi sejak beberapa bulan lalu dapat membantu perikatannya yang diketuai Parti Demokratik Liberal (LDP) mengekalkan majoriti mudah. Ia kini memegang majoriti “super” dua pertiga.

Beberapa penggubal undang-undang pembangkang memulaukan sesi ketika Dewan Rakyat dibubarkan kerana membantah tindakan Abe mengumumkan pilihan raya dan mewujudkan kekosongan politik yang berpotensi pada waktu ketegangan meruncing dengan Korea Utara.

“Ini pasti pertarungan yang sukar, tetapi segalanya mengenai bagaimana kita akan melindungi Jepun serta nyawa dan kewujudan aman rakyat Jepun,” kata Abe kepada sekumpulan penggubal undang-undang.

Parti Harapan yang baharu – hanya dilancarkan secara rasmi kelmarin – pimpinan Gabenor Tokyo yang popular, Yuriko Koike, telah menterbalikkan prospek pilihan raya setelah beliau mengumumkan beliau sendiri akan memimpin kumpulan tersebut.

Koike, seorang bekas penggubal undang-undang dan menteri pertahanan LDP yang celik media dan selalu disebut-sebut sebagai calon untuk menjadi perdana menteri wanita pertama di Jepun, kelmarin berkata beliau sendiri tidak akan bertanding untuk memenangi kerusi, tetapi spekulasi tetap juga berkisar bahawa beliau akan bertanding.

Tinjauan akhbar Mainichi menunjukkan 18 peratus pengundi merancang untuk mengundi Parti Harapan pimpinan Koike berbanding 29 peratus bagi LDP pimpinan Abe yang memerintah negara.

Tinjauan akhbar Asahi pula menunjukkan 13 peratus merancang untuk mengundi parti Koike berbanding 32 peratus bagi LDP.

Kedua-dua tinjauan bertanya kepada pengundi tentang pilihan mereka bagi daerah perwakilan seimbang di mana undi dibuat bagi parti dan bukan bagi calon khusus.

Penarafan Abe sendiri sudah naik ke sekitar 50 peratus daripada sekitar 30 peratus pada Julai lalu, sebahagiannya kerana kepimpinannya sewaktu krisis Korea Utara sekarang.

Kemunculan parti Koike – yang beliau gambarkan sebagai pro-pembaharuan dan konservatif – telah menimbulkan kekalutan dalam parti pembangkang utama, Parti Demokratik.

Ahli Demokratik sedang bergelut dengan pembelotan dan penarafan satu digit dan kini kelihatan dalam bahaya akan diserap oleh Parti Harapan.

Ketua Parti Demokratik, Seiji Maehara, dijangka akan mencadangkan agar parti itu tidak menurunkan sebarang calon dalam pilihan raya dan membiarkan ahlinya bertanding di bawah bendera Parti Harapan, kata laporan media domestik.

Cadangan itu pada akhirnya mungkin akan memecah-belah parti itu, satu adunan konservatif dan liberal yang selalunya tegang dengan imej di kalangan ramai pengundi yang dicemari pemerintahannya yang goyah pada 2009-2012.

Koike, 65, mengingkari LDP untuk bertanding dengan jayanya bagi jawatan gabenor Tokyo pada tahun lepas dan parti tempatannya yang baharu kemudian menewaskan LDP dalam pilihan raya dewan metropolitan pada Julai lalu.

Parti Harapan berkongsi ruang dasar dengan LDP yang mesra perniagaan, tetapi Koike telah mengemukakan pendirian yang berlainan mengenai dua isu yang dijangka akan menarik pengundi.

Beliau mahu membekukan rancangan bagi menaikkan cukai jualan kebangsaan kepada 10 peratus berbanding lapan peratus pada 2019.

Abe berkata beliau akan menaikkan cukai tersebut tetapi membelanjakan lebih banyak hasil pendapatan untuk pendidikan dan penjagaan anak dan bukan untuk membayar balik hutang awam.

Koike juga menuntut agar Jepun meninggalkan tenaga nuklear, sedangkan kerajaan Abe merancang untuk mengekalkan tenaga atom sebagai satu bahagian yang penting dalam adunan tenaga walaupun rakyat bimbang mengenai keselamatan ekoran krisis nuklear Fukushima pada 2011.

Koike juga telah mengkritik Abe kerana menimbulkan risiko bagi kekosongan politik dengan mengumumkan pilihan raya tergempar pada waktu ketegangan serantau yang semakin meruncing berhubung program misil dan nuklear Korea Utara.

Pembaharuan baru-baru ini akan mengurangkan jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat kepada 465 daripada 475 dalam pilihan raya akan datang. — Reuters

Advertisement