Anda di sini

Paruk Vaie Street Stall 2.0 saji bermacam hidangan tradisional

Advertisement
 Paruk Vaie Street Stall 2.0 kini bersedia menerima pengunjung ke gerainya di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.
MENANTI PENGUNJUNG: Paruk Vaie Street Stall 2.0 kini bersedia menerima pengunjung ke gerainya di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

PELBAGAI hidangan makanan tradisi masyarakat Vaie disediakan untuk pengunjung di Paruk Vaie Street Stall 2.0 sempena penganjuran Festival Layang-Layang  Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF) bermula 27 September hingga 1 Oktober di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di Bintulu.

Gerai jualan Paruk Vaie tersebut diusahakan oleh Badan Warisan Sejarah dan Kebudayaan Vaie Bintulu (BAWARIS) dan disokong oleh

Persatuan Penjaja Kecil Bumiputera Sarawak (PKBS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Pengerusi BAWARIS Kairulnieza Waynie berkata, hidangan makanan tradisi Vaie yang ditawarkan merangkumi Qapik, Ti’ong, Te’bhes, Leluway, Numay, Na’aw dan pelbagai lagi juadah lain.

Beliau menggesa pengunjung BIKF agar mengunjungi Paruk Vaie Street Stall 2.0 sambil menikmati makanan tradisi Vaie serta berhibur.

Makanan tradisi disediakan di Paruk Vaie antaranya ialah Te’bhes atau tumpik lemantak dalam dialek tempatan, antara makanan tradisional masyarakat Vaie dan kaum Melanau di Sarawak yang diperbuat daripada sagu (lemantak) dicampur kelapa parut.

  Cara-cara menyediakan Ti’ong. — Gambar Studio Putra
PROSES: Cara-cara menyediakan Ti’ong. — Gambar Studio Putra

Manakala Ti’ong atau pais lemantak udang dibuat daripada kelapa parut, tepung sagu dan udang sederhana kecil. Makanan ini dibungkus dengan daun nipah sebelum dipanggang di atas bara.

Te’bhes biasanya disaji bersama gula apong sebagai menambah perisa dan keenakannya. Ti’ong pula enak dimakan dengan biji sagu kecil dan besar.

Kedua-dua makanan itu begitu popular dalam kalangan masyarakat Vaie di Bintulu dan khususnya masyarakat Melanau di Mukah serta beberapa bahagian lain di Sarawak amnya.

Dalam pada itu, aktiviti lain yang diadakan di Paruk Vaie atau Dapur Bintulu ialah jualan makanan dan minuman, K-Box (karaoke) serta beberapa pertandingan iaitu mewarna, karaoke, membuat Na’aw (linut), membuat Numay (umai), demonstrasi membuat kuih penyaram serta persembahan akustik dan buskers.

  • oleh
  • Advertisement